Pemandu grab jadi tokan dadah ditahan

Hong Shuan menunjukkan rampasan dadah yang diisi dalam paket minuman segera.
Hong Shuan menunjukkan rampasan dadah yang diisi dalam paket minuman segera.
A
A
A

IPOH - Taktik licik seorang pemandu grab meraih pendapatan sampingan melalui kegiatan membungkus dan mengedar dadah menggunakan bungkusan minuman 3 dalam 1 mengundang padah apabila ditahan dalam satu serbuan semalam.

Lelaki berusia 24 tahun berkenaan ditahan dalam rumah kedai di Kampung Simee ketika serbuan pada jam 2 pagi.

Polis turut merampas 15 kilogram serbuk dadah yang diisi dalam 245 paket minuman segera, 50 biji pil ekstasi, 11 gram ketamin dan cecair disyaki dadah yang diisi dalam botol minuman seberat 2.77 liter.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, kesemua rampasan dadah bernilai RM753,295 itu dipercayai untuk edaran penagih sekitar Ipoh dan di pusat hiburan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, lelaki terbabit membeli bungkusan serbuk minuman berjenama terkenal seperti coklat, teh dan jus sebelum memasukkan dadah dan membungkusnya semula seperti asal.

"Lelaki itu kemudiannya menjual bungkusan serbuk minuman itu di pusat hiburan dan setiap bungkusan dijual pada harga RM250 ke RM300.

"Kita dapati kandungan dadah ini dibancuh untuk dijadikan minuman kepada pelanggan pusat hiburan," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang aktif menjalankan aktiviti pengedaran sejak sebulan lalu itu dipercayai mempunyai hubungan dengan sindiket tertentu berdasarkan jumlah rampasan yang besar serta beberapa peralatan digunakan untuk pembungkusan.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios dianggarkan bernilai RM45,000.

"Ujian air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan pernah memiliki rekod lampau jenayah," katanya.

Hong Shuan berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Ini merupakan nilai rampasan dadah terbesar bagi kontinjen Perak tahun ini. Dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan untuk hampir 5,000 penagih sekitar Ipoh.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan penglibatan ahli sindiket lain," katanya.