Jurutera kilang rugi RM24,300 ditipu 'Sarjan Samad'

No Image Caption
A
A
A

BAYAN LEPAS - Bimbang dirinya dikaitkan dengan pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, seorang jurutera kilang kerugian RM24,300 dipercayai ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, mangsa berusia 29 tahun itu dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, mangsa dihubungi ketika berada di tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas Fasa 4 pada jam 12.20 tengah hari semalam.

"Suspek bertanya mangsa sama ada dia ada membuka akaun bank Ambank cawangan Kota Kinabalu Sabah dan mangsa menafikannya. Selepas itu, suspek memberitahu bahawa ada transaksi sebanyak RM530,000 di atas nama mangsa dan dia disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram.

"Suspek kemudiannya telah menyambung panggilan telefon kononnya ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan seorang lelaki lain telah memperkenalkan diri sebagai Sarjan Samad.

"Suspek memberitahu telah menyemak nama mangsa dalam sistem Kementerian Dalam Negeri dan mendapati nama mangsa mempunyai dua waran tangkap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, mangsa semakin takut apabila diberitahu waran tangkap itu dikeluarkan di atas dua kesalahan iaitu pengubahan wang haram dan pengedaran dadah melibatkan RM1.6 juta.

"Suspek turut menyebut nama Razlan Omar kononnya ketua kepada sindiket yang disertai mangsa. Pada jam 2.15 petang hari sama, mangsa telah memberi 'username' dan kata laluan akaun banknya kepada suspek. Mangsa diarahkan memberi tiga nombor TAC (kod pengesahan transaksi) yang diterimanya kepada suspek.

Artikel Berkaitan:

"Setelah memberi nombor tersebut, baru mangsa menyedari bahawa dirinya telah ditipu. Dia kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk bertanya tentang perkara tersebut namun dimaklumkan bahawa ia adalah sindiket Macau Scam," katanya.

Anbalagan berkata, mangsa yang berasal dari Jelutong telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.