Erdogan tolak gencatan senjata

Tentera Turki bersama sekutunya terus melancarkan serangan menyasarkan kedudukan militan Kurdish berhampiran sempadan negara itu. - Foto: AFP
Tentera Turki bersama sekutunya terus melancarkan serangan menyasarkan kedudukan militan Kurdish berhampiran sempadan negara itu. - Foto: AFP
A
A
A

ANKARA - "Kami tidak akan melaksanakan gencatan senjata!'

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kepada media tempatan hari ini selepas beliau menolak cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil langkah bagi meredakan konflik di utara Syria.

Erdogan dengan angkuh menyatakan beliau juga tidak bimbang dengan sekatan dikenakan Washington sebagai respons terhadap operasi ketenteraan yang dilancarkan mereka untuk menghapuskan militan Kurdish.

"Kemaraan tentera Syria di bandar Manbij bukan satu perkembangan negatif kepada kami kerana ia adalah kawasan mereka sendiri.

"Mereka (Barat) cuba beri tekanan kepada kami untuk hentikan operasi tersebut. Kami ada sasaran jelas. Tidak mungkin kami akan laksanakan gencatan senjata sehingga Turki menghapuskan militan di sempadan," ujarnya merujuk kepada pejuang Kurdish.

Terdahulu, Pejabat Timbalan Presiden AS, Mike Pence memaklumkan beliau akan berkunjung ke Ankara dan dijangka bertemu Erdogan esok untuk menzahirkan komitmen AS bagi melaksanakan gencatan senjata tersebut.

Kelmarin, Manbij yang terletak di wilayah Aleppo dan kawasan sekitarnya dilaporkan telah berada di bawah kawalan penuh tentera Syria selepas bandar itu dibebaskan daripada cengkaman Daesh pada Ogos 2016.

Sejak beberapa hari lalu, Ankara tetap dengan pendirian mereka dan tidak menghiraukan bantahan masyarakat antarabangsa terhadap operasi ketenteraan yang dilancarkan mereka pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Konflik yang semakin memuncak menyebabkan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) memeterai perjanjian dengan rejim Presiden Bashar al-Assad untuk mendapatkan perlindungan kerajaan pada Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, Rusia yang merupakan sekutu kuat Bashar juga mengerahkan pasukan polis tentera Moscow ke bahagian utara Syria bagi mengisi 'kekosongan' kawalan keselamatan selepas AS memanggil pulang pasukan tentera mereka. - Agensi