'Pemimpin sekat royalti Kelantan perlu jawab depan ALLAH'

A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin dari kerajaan mesti bertanggungjawab di hadapan ALLAH kelak kerana menyekat hak orang lain dalam isu royalti minyak kepada rakyat Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pembayaran royalti merupakan tanggungjawab kepada rakyat.

Menurutnya, tidak memberikan royalti kepada negeri yang layak adalah satu jenayah yang dilakukan kerajaan Persekutuan.

“Kalau sikap kerajaan Persekutuan menyekat royalti kerajaan negeri... ia memberi imej sangat buruk kepada dunia.

“Saya yakin pelaburan yang tidak masuk ke negara kita dari asing kerana mereka menganggap kerajaan Persekutuan sanggup melanggar undang-undang termasuk kepada kerajaan negeri.

“Jadi, bagaimana nasib pelabur asing yang ada dalam negara kita, pastinya mereka akan terdedah kepada bahaya,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

 Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

Terdahulu, Ahli Parlimen Pas dari Kelantan turut melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan isu royalti.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Guan Eng mendakwa kerajaan Persekutuan sudah membayar royalti sedangkan Kelantan masih belum menerima sebarang bayaran royalti sehingga sekarang.

Semalam, Guan Eng dalam respons terbaharunya berkata, isu bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan perlu diselesaikan secara rasional tanpa melibatkan pertikaian mengenai istilahnya.

Menurutnya, paling penting bukan sahaja kerajaan Pusat membuat pembayaran royalti petroleum lebih awal tetapi turut memenuhi permintaan daripada kerajaan Kelantan.

Hari ini, Ahli Parlimen Bagan itu menjelaskan bayaran wang ihsan dan perkara perihal petroleum serta Petronas bukanlah di bawah bidang kuasanya tetapi di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, selaku Menteri Kewangan beliau hanya menurut arahan yang dikeluarkan Dr Mahathir.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Wang ihsan RM15.7 juta bukan royalti minyak Kelantan'

Tak perlu berbalah istilah royalti, wang ihsan

Royalti minyak: Saya hanya ikut arahan PM, kata Guan Eng