X

Kindly register in order to view this article
!

Tak perlu berbalah istilah royalti, wang ihsan

Guan Eng ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Isu bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan perlu diselesaikan secara rasional tanpa melibatkan pertikaian mengenai istilahnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, paling penting bukan sahaja kerajaan Pusat membuat pembayaran royalti petroleum lebih awal tetapi turut memenuhi permintaan daripada kerajaan Kelantan.

Menurutnya, antara permintaan dikemukakan adalah Kelantan berdepan masalah pembayaran gaji dan pelaksanaan operasi.

"Namun kerajaan Persekutuan telah memberi pendahuluan untuk membolehkan mereka (Kelantan) membayar kos-kos operasi termasuk membayar gaji kakitangan dan anggota perkhidmatan negeri itu.

"Baru-baru ini, saya baru terima satu lagi permintaan daripada Kelantan juga untuk membayar kos operasi termasuk gaji perkhidmatan awam sebanyak RM100 juta, ini pun diluluskan oleh saya.

"Kita membantu Kelantan. Jadi, janganlah kita berpolemik berdasarkan fakta yang tidak berasas," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Wang ihsan RM15.7 juta bukan royalti minyak Kelantan'

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu sentiasa berunding secara waras tanpa hilang kawalan emosi.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan kerajaan Kelantan hari ini mereka sememangnya mengakui menerima pembayaran RM15 juta daripada kerajaan Pusat baru-baru ini.

"Jadi seperti yang saya sebut, kita sudah awalkan pemberian royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan bertimbang rasa meskipun dicaci, dikritik, dicemuh dan sebagainya.

"Kita tetap masih mahu pastikan bahawa bidang kuasa kerajaan masing-masing mengikut apa ditetapkan dan seberapa yang boleh, bantuan akan tetap diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

"Saya harap perkara ini marilah kita bincang secara waras, kalau nak berpolemik pun janganlah tanpa asas dan bukti kukuh," katanya.

'BN tak pernah janji bayar royalti minyak kepada Kelantan'

Hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengatakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan bukan membayar wang royalti sebaliknya wang ihsan.

Semalam, Guan Eng menyatakan kerajaan Persekutuan sudah membayar royalti kepada Kelantan pada September lalu.

Malah Guan Eng dalam kenyataannya menegaskan bayaran tersebut dibuat lebih awal berbanding sepatutnya pada Januari tahun hadapan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus