Royalti minyak: Saya hanya ikut arahan PM, kata Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Di sebalik kemelut pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan bayaran wang ihsan dan perkara perihal petroleum serta Petronas bukanlah di bawah bidang kuasanya tetapi di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, selaku Menteri Kewangan beliau hanya menurut arahan yang dikeluarkan Dr Mahathir.

“Adalah dikesali ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran dilakukan, walaupun hakikatnya pembayaran dibuat atas arahan Perdana Menteri,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga telah mengesahkan bayaran wang ihsan kepada Kelantan telahpun disalurkan kepada kerajaan negeri sebanyak RM15.75 juta pada 18 September 2019.

Tambahnya, bayaran itu dibuat bagi mengelakkan Kerajaan Persekutuan terperangkap dalam kemelut perundangan namun perkiraannya adalah berasaskan lima peratus daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran tersebut kepada kerajaan Kelantan.

“Sukar difahami bagaimana kerajaan Kelantan hari ini menganggap pihak yang sebelum ini tidak menyalurkan bayaran wang ihsan kepada kerajaan Kelantan sebagai rakan setia sedangkan kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bayaran wang ihsan secara langsung dianggap sebagai musuh ketat.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa komitmen untuk membantu kerajaan Kelantan telah dilaksanakan sungguhpun berhadapan pelbagai cemuhan dan fitnah,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah hari ini mengesahkan kerajaan Kelantan telah tiga kali menerima wang ihsan pemberian kerajaan Persekutuan berjumlah RM28 juta pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia merupakan kali pertama wang ihsan itu disalurkan terus kepada kerajaan Kelantan sejak diperkenalkan pada 2010.

Pemberian wang ihsan sebelum ini, katanya, disalurkan terus kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan usul cadangan merakamkan dukacita di atas kenyataan yang dikeluarkan Guan Eng mengenai pembayaran royalti minyak di negeri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub selepas dicadangkan oleh Datuk Hassan Mahmood (Pas-Tawang).

Tindakan itu susulan kenyataan Guan Eng yang mendakwa bayaran royalti kepada kerajaan Kelantan telah dibayar bulan lepas dan beliau sendiri yang menandatangan pembayaran atas arahan Perdana Menteri.

Guan Eng turut memaklumkan pembayaran tersebut sepatutnya dilakukan pada Januari depan, namun diawalkan ke bulan lepas.

Dalam pada itu Guan Eng menjelaskan, kerajaan Persekutuan terus komited untuk membantu negeri-negeri yang menghadapi masalah kewangan.

“Dalam surat tanggal 12 September 2019, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan telah memohon sekali lagi untuk bantuan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk wang pendahuluan untuk memenuhi obligasi perbelanjaan operasinya termasuk membayar gaji dan emolumen anggota pentadbiran kerajaan Kelatan.

“Sehubungan itu saya telah meluluskan permohonan pendahuluan sebanyak RM100 juta pada 14 Oktober 2019 untuk membantu kerajaan Kelantan membiayai perbelanjaannya termasuk pembayaran gaji anggota pentadbirannya sehingga hujung tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, wang pendahuluan RM100 juta bukan kali pertama kerajaan Kelantan membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan yang baharu untuk membantu bayar gaji warga perkhidmatan kerajaan Kelantan.

Katanya, pada tahun 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota kerajaan Kelantan juga telah diluluskan.

“Adalah diharapkan dengan adanya wang ihsan dan pendahuluan ini dapat membantu Kerajaan Negeri Kelantan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dan seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat negeri Kelantan,” katanya.