Dadah bernilai RM1.65 juta dirampas

Noor Azam (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.
Noor Azam (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktiviti sindiket makmal dadah di sebuah rumah kedai di Meru, Klang Utara terbongkar setelah berlaku letupan kecil yang mengakibatkan asap di premis berkenaan Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, orang awam yang terdengar letupan itu terus menghubungi Mers '999'.

"Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat serta anggota polis telah pergi ke lokasi kejadian, menjumpai dua suspek dan peralatan memproses dadah premis berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Noor Azam berkata, salah seorang suspek yang ditahan itu dipercayai 'pakar' memproses dadah jenis syabu.

"Lelaki berusia 47 tahun berstatus duda itu mempunyai tiga rekod jenayah dan 11 rekod kes dadah. Dia pernah ditangkap bersabit kes makmal dadah di Mantin, Negeri Sembilan pada 2016, tetapi dilepaskan setelah dibicarakan," katanya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek berusia 52 tahun pula mempunyai tiga rekod kes dadah, dia pernah ditangkap di China pada 2007 kerana memiliki sejumlah pil ecstasy dan dijatuhi hukuman selama 10 tahun penjara di negara tersebut," katanya.

Noor Azam berkata, pihaknya telah merampas cecair disyaki 'meth oil' dianggarkan seberat 45.8 kilogram yang dijumpai di dalam tong, botol plastik dan bekas bikar kaca.

"Bahan tersebut dianggarkan boleh menghasilkan syabu seberat 18.5 kilogram. Kita turut merampas pelbagai peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback dan wang tunai RM580.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1.65 juta," katanya.

Kedua-dua suspek itu telah direman sehingga 18 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.