Kampung Baru: Sukar bagi kerajaan tawar harga tinggi - PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDC) 2019 dan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sukar bagi kerajaan untuk menawarkan harga tinggi kepada pemilik tanah di Kampung Baru bagi memastikan orang Melayu dapat membeli semula hartanah berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan jika kerajaan menawarkan pembelian harga tanah pada kadar semasa, kos pembangunan di Kampung Baru akan turut meningkat.

“Kita lihat di mana orang Melayu memiliki tanah, mereka miskin, mereka jual dengan harga yang baik tetapi mereka tak dapat balik (hartanah yang dijual). Tanah (dijual) itu akan dimiliki oleh orang lain.

"Tetapi di Kampung Baru ini, kita perlu penghuninya terdiri daripada orang Melayu dan kebanyakan orang Melayu tak (mampu) beli pada harga mahal. Kalau kita nak ikut harga pasaran, orang Melayu tidak akan masuk semula ke Kampung Baru,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDC) 2019 dan Ekspo Peranti Perubatan Malaysia (MYMEDEX) 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, pihak kerajaan hanya akan menawarkan kadar istimewa kepada pemilik tanah terbabit supaya mereka mampu untuk membeli semula unit hartanah yang dibangunkan.

“Kalau kita nak ikut harga tanah di luar Kampung Baru, ada yang sampai RM7,000 sekaki persegi. Jika kita buat macam itu (tawar harga tinggi), orang Melayu sudah tidak lagi tinggal di Kampung Baru.

“Sebab itu kita bagi harga istimewa, murah, kita pun boleh buat bangunan apartment dan flat lebih murah, mampu milik kepada orang Melayu,” katanya namun tidak mengulas harga baharu yang bakal ditawarkan.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan akan membuat tawaran baharu dan muktamad kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi menyelesaikan kemelut pembangunan di situ.

Tawaran berkenaan yang dikatakan bakal diumumkan pada minggu hadapan itu disifatkan sebagai yang terakhir dari pihak kerajaan, susulan perbincangan Khalid dengan Dr Mahathir minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tawaran baharu kepada pemilik tanah di Kampung Baru: Khalid

Situasi menang-menang di Kampung Baru