Kerajaan negeri boleh tentukan harga rumah kepada pembeli asing

Zuraida pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019 di Georgetown hari ini.
Zuraida pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019 di Georgetown hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan negeri mahu menentukan harga penjualan rumah kepada warga asing bergantung kepada keperluan dan kesesuaian negeri masing-masing tanpa perlu mengikut harga minimum seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2020, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, ia berikutan nilai hartanah di setiap negeri yang berbeza, selain ia boleh diselaraskan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Walaupun harga minimum yang diumumkan pada kadar RM600,000 ke atas, namun kadar itu masih bergantung kepada garis panduan yang ditetapkan di setiap negeri kerana harga ambang di setiap negeri adalah berbeza.

"Mereka boleh mengkaji apakah ratio yang terbaik di negeri mereka, contohnya hartanah di Pulau Pinang dan Perlis, kedua-duanya macam langit dan bumi. Itu perkara yang perlu diperhalusi dan diteliti oleh setiap negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan PBT 2019 di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual.

Sementara itu, Jagdeep berkata, kerajaan Pulau Pinang mempunyai garis panduan untuk pembelian rumah kepada warga asing iaitu RM3 juta di atas tanah dan RM1 juta untuk kondominium.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco yang akan diadakan Jumaat ini bagi meneliti semula cadangan kerajaan negeri yang menurunkan had sehingga RM600,000 kepada pembeli warga asing," katanya.