X

Kindly register in order to view this article
!

Tubuh jawatankuasa tangani keganasan rumahtangga

Hannah Yeoh
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersetuju menubuhkan mesyuarat jawatankuasa pembangunan wanita dan keluarga dalam usaha menangani isu penganiayaan dan penindasan wanita.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jawatankuasa itu akan terdiri daripada polis, Exco wanita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen.

"Secara dasarnya kita telah bersetuju untuk menubuhkannya bukan sahaja di peringkat kementerian tetapi juga negeri," katanya.

Menurutnya, mesyuarat jawatankuasa itu akan mengumpulkan data dan berbincang mengenai kes-kes keganasan rumahtangga yang berlaku di setiap daerah.

"Dalam parlimen kita sering ditanya mengenai isu keganasan rumahtangga namun kita tidak mempunyai data yang tepat," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan dilakukan secara berkala di peringkat akar umbi.

"Kita mahu tahu realiti kes sama atau tidak dengan laporan yang dibuat di kawasan tersebut.

"Biasanya kita dengar banyak kes tetapi tiada laporan polis dibuat kerana kebanyakan wanita takut untuk melaporkannya akibat bimbang suami mereka ditangkap dan akhirnya timbul masalah kewangan," katanya pada sidang akhbar di sini selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Konvensyen Wanita dan Keluarga Kebangsaan.

Tidak hanya mengumpul data, Hannah berkata, mesyuarat jawatankuasa tersebut juga akan membincangkan program kesedaran yang wajar diadakan di kawasan yang mempunyai kes keganasan rumahtangga.

"Dengan data ini, ADUN ataupun ahli Parlimen boleh menganjurkan program-program berkaitan kepada kumpulan sasar di tempat masing-masing," katanya.

KPWKM memandang serius isu penganiayaan dan penindasan terhadap wanita daripada semua sudut dan kementerian akan menanganinya secara teliti bagi memastikan langkah-langkah yang diambil benar-benar efisyen dan efektif.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!