Penggunaan vape libat pelajar sekolah membimbangkan

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara didapati terjebak dengan penggunaan rokok elektronik atau vape.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan, daripada jumlah direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM), 50,000 daripada mereka terdiri daripada pelajar perempuan.

Mengakui bimbang dengan angka itu, Dzulkefly berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara tersebut.

“Satu kajian dalam kalangan pengguna rokok elektronik di Malaysia didapati satu dapatan dalam kalangan pelajar sekolah 9.1 peratus atau 300,000 pelajar kita menggunakan vape.

"Daripada jumlah itu, seramai 250,000 melibatkan pelajar lelaki dan bakinya dalam kalangan pelajar perempuan.

"(Penglibatan pelajar dalam menggunakan vape) itu juga sangat menggusarkan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) berhubung langkah kerajaan bagi membendung jualan vape terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, satu akta baharu telah digubal di bawah pihak KKM bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang kini sedang dalam semakan pihak Jabatan Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

“Di bawah akta baharu ini, penggunaan semua jenis produk merokok seperti rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, selain nikotin yang terdapat dalam vape, bahan bakar itu juga turut mengandungi aerosol.