Mahkamah arah Ku Nan bela diri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016 lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan empat hari iaitu 10, 17, 20 dan 21 Januari tahun depan sebagai tarikh pembelaan diri Tengku Adnan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, ketika memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima wang sebanyak RM2 juta menerusi cek Hong Leong Islamic Bank daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong, 60.

Cek milik AKSB itu didepositkan ke akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang mana Tengku Adnan sebagai pemegang saham terbesar syarikat tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Ia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 23 Januari lalu, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini, selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Sepanjang 12 hari perbicaraan bermula 2 Julai lalu, mahkamah memanggil 23 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan antaranya bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib, Tan Sri Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz dan Kin Kong.

Tengku Adnan diwakili peguam, Datuk Tan Hock Chuan manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Dalam pada itu, mahkamah itu juga memutuskan tidak ada bukti UMNO menerima RM2 juta daripada AKSB.

Mohamed Zaini turut berpendapat bahawa RM2 juta itu dimanfaat oleh tertuduh (Tengku Adnan) dan ini diterima tanpa pertimbangan yang berharga.

“RM2 juta itu yang diberikan oleh pihak kedua (Aset Kayamas) dibayar kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd, dan pergerakan wang itu berakhir di situ. Tidak terdapat hubungan yang bayaran itu dibuat kepada UMNO daripada akaun Tadmansori Holdings,” katanya.

Artikel Berkaitan