Anwar minta bangunkan Bayan Lepas, Gertak Sanggul

Anwar Ibrahim -Foto Bernama
Anwar Ibrahim -Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Pulau Pinang digesa untuk membangunkan kawasan Bayan Lepas terutamanya di Gertak Sanggul terlebih dahulu sebelum menjalankan projek menambak laut bagi pembinaan tiga pulau buatan di situ.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) yang dirancang di kawasan Gertak Sanggul itu dilihat masih tersisih daripada arus pembangunan malah ia menimbulkan keresahan penduduk di kawasan berkenaan.

"Saya setuju kalau mahu tebus guna tanah namun ia harus didahului pembangunan di kawasan Bayan Lepas termasuk Gertak Sanggul kerana di situ ia agak terpinggir.

“Kalau kita abaikan kawasan itu, ia akan meninggalkan keresahan kepada penduduk. Kita tidak mahu itu terjadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR, Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta kepimpinan negeri.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya sekali lagi mengulangi pendiriannya supaya kerajaan Pulau Pinang tidak meneruskan pelaksanaan PSR sehingga satu kajian dan penelitian lanjut mengenai kesan kepada kawasan serta mereka yang terlibat dilakukan.

Menurutnya, perkara itu juga telah beliau suarakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Pakatan Harapan (PH).

“Bukan hanya pampasan yang perlu difikirkan sebaliknya projek jangka panjang untuk pastikan kelestarian hidup penduduk yang terdiri daripada nelayan di kawasan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau bukan menolak pembangunan atau projek itu tetapi perlu melihat secara teliti dan terperinci supaya keputusan untuk projek itu memberi faedah kepada semua pihak.

"Kita bukan tolak projek ini namun kita juga tidak mahu sudah tambak baru mahu lihat. Saya minta pimpinan PKR untuk patuh keputusan lihat dan teliti semula ini,” katanya.

Julai lepas, Anwar mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Komtar, Georgetown dekat sini bagi membincangkan isu berkaitan projek tambakan laut yang bernilai RM46 bilion itu.

Ia susulan kehadiran Anwar pada Majlis Perjumpaan Bersama Penduduk dan Nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu yang diadakan bagi mendengar rintihan komuniti itu yang dijangka akan terjejas susulan pembinaan PSR. - Bernama