Penyeludup raih RM400 sehari seludup petrol

Kereta jenis Proton Waja yang tangkinya diubah suai digunakan oleh suspek untuk menyeludup bahan api ke negara jiran.
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang penyeludup mampu 'menjana' pendapatan bersih sekitar RM400 sehari hasil menyeludup bahan api bersubsidi ke negara jiran menggunakan kenderaan menerusi jalan darat.

Perkara itu didedahkan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi hasil soal siasat dilakukan ke atas suspek warga tempatan yang dipercayai sudah terlibat dalam aktiviti tersebut sejak tiga tahun lalu.

Azhari berkata, suspek mendedahkan dia mengambil upah menyeludup minyak petrol menggunakan kenderaan bernombor plat tempatan bagi mengelakkan kegiatan haram itu dihidu oleh anggota penguatkuasa.

"Bagi 'melancarkan' lagi kegiatan haram itu suspek mendedahkan dia menggunakan kenderaan berlainan dalam melakukan aktiviti menyeludup," katanya.

Menurutnya, kesemua kenderaan itu diubah suai tangki bagi membolehkan lebih banyak bahan api bersubsidi tersebut dibawa ke luar ke negara jiran.

Katanya, bagaimanapun, kebijaksanaan anggota PGA Batalion 7 Kuantan berjaya mengesan taktik tersebut dan telah melakukan tangkapan ke atas suspek yang berusia 32 tahun.

"Suspek dicekup ketika sedang mengisi minyak di salah sebuah stesen di sini semalam sekitar jam 12.15 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan 71.39 liter minyak petrol di dalam tangki kereta berkenaan," katanya.

Azhari berkata, suspek bersama barang kes telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

Katanya, PGA Batalion 7 Kuantan akan terus melipat gandakan operasi mencegah jenayah lintas sempadan sepanjang melaksanakan tugas di Op Wawasan.