Trend suntikan filler payudara meningkat, ancam nyawa

Dr Imi Sairi  (dua dari kiri) bersama peserta program Pink Walk 2026 di Masjid Jamek Muhammadi pada Sabtu. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Dr Imi Sairi  (dua dari kiri) bersama peserta program Pink Walk 2026 di Masjid Jamek Muhammadi pada Sabtu. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Trend suntikan bahan pengisi (filler) bagi mendapatkan saiz payudara yang lebih besar dan montok dalam kalangan wanita muda semakin membimbangkan apabila dikaitkan dengan komplikasi serius sehingga boleh mengancam nyawa.

Peningkatan kes komplikasi akibat prosedur tersebut dikesan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, termasuk tiga pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital kerajaan, selain dua kematian direkodkan dalam tempoh 10 tahun di negara ini.

Pengerusi Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, beliau menerima antara empat hingga lima kes komplikasi suntikan filler payudara setiap tahun, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana terdapat wanita yang malu untuk mendapatkan rawatan.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat wanita yang menjalani prosedur tersebut walaupun mempunyai payudara normal, malah ada yang mengakui berbuat demikian atas permintaan pasangan.

“Wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun merupakan antara golongan yang mendapatkan suntikan filler termasuk mereka yang bekerjaya, berpendidikan tinggi dan pempengaruh media sosial yang mahu meningkatkan penampilan diri.

“Mereka tidak mengetahui risiko sebenar. Apabila berlaku jangkitan, payudara boleh bernanah dan terpaksa dibuang, malah kuman boleh merebak ke otak sehingga menyebabkan kematian,” katanya kepada pemberita selepas program Pink Walk 2026 di Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Sabtu.

Peserta melakukan senaman ringan sebelum memulakan aktiviti berjalan kaki semperna program Pink Walk 2026 di Masjid Jamek Muhammadi pada Sabtu - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Peserta melakukan senaman ringan sebelum memulakan aktiviti berjalan kaki semperna program Pink Walk 2026 di Masjid Jamek Muhammadi pada Sabtu - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Menurut beliau, kebanyakan individu yang menawarkan perkhidmatan suntikan filler payudara bukan dalam kalangan doktor bertauliah, sebaliknya individu yang mendakwa diri mereka sebagai jururunding kecantikan dengan latihan yang sangat terhad.

Artikel Berkaitan:

“Mereka mempromosikan perkhidmatan melalui iklan dalam talian sebelum mengatur temu janji dengan pelanggan untuk suntikan yang berharga antara RM1,000 hingga RM10,000.

“Suntikan dilakukan di lokasi seperti bilik hotel dan kesan buruknya lazimnya mula dirasai selepas beberapa tahun,” katanya.

Dr Imi Sairi yang juga Ketua Perkhidmatan Kebangsaan Pembedahan Payudara dan Endokrin berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila bahan filler yang disuntik bercampur dengan tisu payudara sehingga sukar atau mustahil untuk dikeluarkan sepenuhnya.

Menurutnya, pesakit yang mendapatkan rawatan pada peringkat awal masih boleh dibantu melalui rawatan antibiotik bagi mengawal jangkitan, namun dalam banyak kes payudara tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang.

Beliau turut menjelaskan bahawa suntikan filler boleh menyebabkan proses pengesanan kanser payudara menjadi lebih sukar menerusi pemeriksaan mamogram dan ultrabunyi.

“Saya mempunyai empat kes pesakit kanser payudara yang tidak dapat dikesan lebih awal dan hanya mendapatkan rawatan ketika penyakit sudah berada pada tahap empat.

“Bahan filler itu menutupi keseluruhan struktur payudara sehingga menyukarkan pengesanan sel kanser,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperketat penguatkuasaan terhadap penggunaan suntikan filler payudara, khususnya yang dilakukan oleh individu tidak bertauliah.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penjualan bahan filler dari luar negara menerusi platform dalam talian yang membolehkan produk tersebut diperoleh dengan mudah.

Sementara itu, Dr Imi Sairi berkata, seramai 2,500 peserta menyertai program Pink Walk 2026 anjuran YKKK yang turut disertai Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isteri, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Program berkenaan melibatkan aktiviti berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer bagi meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara.

“Kira-kira 200 pesakit kanser payudara turut menyertai program ini.

“Ia sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara serta memberi semangat kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan atau dalam proses pemulihan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!