Lari tinggalkan 1,000 liter petrol seludup

Anggota penguat kuasa KPDN Kelantan memeriksa tangki tambahan yang diubahsuai pada Proton Iswara untuk mengisi minyak petrol yang diseludup.
Anggota penguat kuasa KPDN Kelantan memeriksa tangki tambahan yang diubahsuai pada Proton Iswara untuk mengisi minyak petrol yang diseludup.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki lari lintang-pukang meninggalkan 1,000 liter minyak petrol seludup selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di Tanjung Chat, di sini pada Isnin.

Serbuan jam 4.40 pagi itu turut disertai anggota Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas telah mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, suspek terus bertindak memecut laju melalui jalan Pengkalan Chepa ke Tanjung Chat.

"Bagaimanapun, laluan yang digunakan itu merupakan jalan mati dan suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas Proton Gen-2 itu membawa kepada penemuan 1,000 liter petrol.

Sementara itu, dalam serbuan di Tumpat, pihaknya berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara di tepi jalan Kampung Wakaf King, Kepulau.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan itu menjumpai 80 liter minyak petrol selain tangki tambahan yang diubahsuai.

"Nilai keseluruhan kedua-dua rampasan dianggarkan berjumlah RM22,214 dan kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.