KPLB mahu lebih ramai wanita jadi ketua kampung

Rina bersalaman dengan peserta Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara hari ini. - Foto Bernama
Rina bersalaman dengan peserta Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Zon Utara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mahu meningkatkan penglibatan golongan wanita sebagai ketua kampung untuk mencapai sasaran 30 peratus di seluruh negara menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, golongan wanita berupaya memimpin sekiranya diberi pendedahan dan kesedaran yang sepatutnya.

"Setakat ini, 17,001 ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah terdiri daripada wanita.

"Kini terdapat sebanyak 15,441 kampung yang berdaftar dan hanya 24 peratus diketuai wanita dan kami rasa sasaran itu berjaya dicapai menjelang 2020," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar zon Utara di sini hari ini.

Menurutnya, sasaran itu selaras dengan penstrukturan dan penjenamaan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui kelulusan jemaah menteri Jun tahun lepas.

Sementara itu, Rina berkata, wanita juga harus merebut peluang mereka untuk melibatkan diri dalam bidang usahawan khususnya di kawasan luar bandar.

"Penglibatan wanita masih dianggap rendah dalam bidang usahawan luar bandar dengan hanya 21 peratus.

"Angka kami menunjukkan seramai 84,000 usahawan telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tetapi 21 peratus sahaja daripadanya golongan wanita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebanyakan wanita banyak mengusahakan perniagaan mereka tetapi enggan berdaftar dengan SSM.

"Mereka (usahawan wanita) ini berpendapat sekiranya mereka berdaftar dengan SSM, mereka akan kehilangan kelayakan untuk menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)," katanya.

Beliau berkata, program kesedaran harus diberikan kepada mereka supaya lebih ramai memahami kepentingan dan kelebihan berdaftar dengan SSM.

"Mereka harus memikirkan kepentingan lebih besar sebagai usahawan berdaftar kerana keuntungan mereka peroleh akan lebih lumayan berbanding bantuan diberi melalui BSH," katanya. - Bernama