Kementerian Kewangan kesal laporan media bahasa Inggeris, Cina

Kenyataan Kementerian Kewangan berhubung isu berkenaan.
Gambar kanan: Lim Guan Eng - Foto Bernama
Kenyataan Kementerian Kewangan berhubung isu berkenaan. Gambar kanan: Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) kesal dengan laporan akhbar bahasa Inggeris dan Cina mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung keputusan mengurangkan peruntukan tahunan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) menerusi Belanjawan 2020 kelmarin.

Unit Komunikasi Korporat (UKK) MOF dalam kenyataannya berkata, Guan Eng menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengadakan semula peruntukan tahunan sebanyak RM30 juta kepada KUTAR sekiranya parti MCA melepaskan pegangan politik mereka ke kolej terbabit.

“Namun beberapa saluran media bahasa Inggeris dan bahasa Cina tidak melaporkan penekanan Guan Eng bahawa kerajaan tidak berniat untuk mengambil alih KUTAR dan juga tidak menghendaki ahli politik PH (Pakatan Harapan) atau DAP untuk menggantikan MCA.

“Menteri Kewangan menyatakan dengan jelas bahawa MCA harus melepaskan pegangan mereka ke atas KUTAR kepada para profesional dalam kalangan bekas pelajar atau alumni KUTAR,” katanya.

Katanya, Guan Eng turut menyatakan bahawa KUTAR akan diurus dengan lebih baik oleh profesional tanpa campur tangan politik atau kerajaan dan akan dibenarkan untuk menentukan polisi pendidikan mereka secara bebas berdasarkan standard pendidikan yang cemerlang.

“Beliau juga telah memberikan contoh KOJADI yang turut tidak dilaporkan yang mana ia merupakan sebuah koperasi yang dikawal oleh MCA dan menerima RM15 juta daripada Yayasan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) pada 2012.

“Walaupun bekas Pengerusi KOJADI, Datuk Ng Peng Hay mahu memulangkan RM15 juta yang diterima daripada Yayasan 1MDB, keputusan itu ditolak oleh MCA.

"Lanjutan daripada itu akaun bank KOJADI dibekukan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Peng Hay telah digantung tugas sebagai Pengerusi KOJADI,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justue, Kementerian Kewangan berharap agar organisasi media melakukan tugas mereka secara profesional dan berkemahiran tanpa mengira pandangan politik.

“Walaupun ada organisasi media yang berpihak politik sama ada pro-MCA atau pro-BN/Pas, kebebasan media menuntut mereka melaporkan fakta sepenuhnya dan secara jujur,” katanya.