Baru jadi tokan dadah seminggu, sudah kena cekup

Polis merampas dadah yang ditemui di dalam beg suspek dalam tangkapan di Taman Bukit Serdang, Rabu lalu.
Polis merampas dadah yang ditemui di dalam beg suspek dalam tangkapan di Taman Bukit Serdang, Rabu lalu.
A
A
A

SERDANG - Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai mula berjinak-jinak mengedar dadah menjerat diri apabila dicekup polis di Taman Bukit Serdang, di sini Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, suspek berusia 27 tahun yang menaiki Honda City itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Menurutnya, pemeriksaan pada beg yang dipegang lelaki terbabit menjumpai 100 keping eramin 5, sebanyak 30 peket serbuk ekstasi, satu peket ketamin dan sepeket syabu.

"Kesemua dadah seberat kira-kira 0.93 kilogram itu dianggarkan nilai RM20,000.

"Suspek dan rampasan dadah kemudian dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif sejak seminggu lalu dengan memperoleh bekalan daripada seorang lelaki di Petaling Jaya.

Katanya, bekalan tersebut kemudian diedar di sekitar Serdang.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: