Rasuah: 9 pegawai tinggi Iraq dihadapkan ke mahkamah

No Image Caption
A
A
A

BAGHDAD - Sembilan pegawai tinggi Iraq dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah, kata pihak berkuasa negara itu semalam.

Ia sebagai sebahagian pembaharuan kerajaan selepas gelombang bantahan anti-kerajaan yang menuntut isu pengangguran, rasuah dan kelemahan urus tadbir perkhidmatan awam ditangani segera.

Majlis Tertinggi Anti-Rasuah Iraq telah merujuk beberapa kes rasuah berprofil tinggi kepada badan kehakiman, lapor agensi berita Xinhua memetik majlis itu dalam satu kenyataan.

Pegawai tinggi itu termasuk bekas menteri dan bekas gabenor wilayah.

"Lebih banyak kes rasuah akan dirujuk secara berperingkat kepada badan kehakiman," kata kenyataan itu.

Berucap di hadapan rakyat Iraq pada Rabu lalu, Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi berkata, beliau akan mengeluarkan senarai nama pegawai yang akan dirujuk ke mahkamah atas dakwaan melakukan rasuah.

Beliau berkata demikian selepas berlakunya gelombang protes awal bulan ini di ibu kota Baghdad dan wilayah lain di tengah dan selatan Iraq.

Demonstrasi itu menyaksikan lebih 100 orang terbunuh, termasuk lapan anggota keselamatan manakala 6,107 lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Mahdi berkata beliau telah mengarahkan siasatan yang telus dijalankan bagi memastikan pihak tidak mematuhi undang-undang dan peraturan tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Beliau turut mengisytiharkan Iraq berkabung selama tiga hari bermula Khamis sebagai memperingati mangsa yang terkorban dalam protes itu. - Bernama