X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Warga Pakistan, Bangladesh ditahan bekal permit kerja palsu

Fazlisyam (depan) menunjukkan antara suspek yang terlibat kes pemalsuan permit pekerja asing.
A
A

SHAH ALAM - Seramai 17 warga Pakistan dan Bangladesh dipercayai ahli sindiket membekalkan permit palsu sejak tiga tahun lalu yang didalangi lelaki tempatan diberkas dalam serbuan dilakukan polis pada semalam dan kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, kesemua suspek ditahan hasil risikan pihaknya di beberapa kawasan berasingan termasuk di kilang dan premis.

Menurutnya, serbuan pada hari pertama kelmarin menahan lapan suspek manakala hari kedua pada semalam seramai sembilan lagi suspek ditahan.

"Kita percaya mereka ini menggunakan modus operandi melalui lelaki Pakistan yang memiliki kad pengenalan dan sudah lama menetap di Malaysia ekoran ibunya merupakan warga tempatan dan bapanya warga Pakistan.

"Jadi lelaki tempatan berkenaan menjadi rakan kongsi dengan warga asing itu mencari pekerja asing yang terdiri daripada warga Pakistan, India dan Bangladesh yang tidak mempunyai permit kerja yang sah," katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, suspek merupakan ejen mencari pekerja asing turut dibayar RM400 sebulan untuk mencetak permit kerja palsu.

"Berikutan itu melalui hasil soal siasat yang dijalankan, kita turut menahan sembilan lagi anggota sindiket semalam dan turut menahan seorang wanita Melayu dan lapan lelaki Bangladesh.

"Turut dirampas komputer riba jenama Asus, mesin cetak jenama HP, pasport antarabangsa negara Pakistan, Bangladesh dan India, salinan cetak kad pekerja asing (permit), pendrive dan tiga unit telefon bimbit.

"Polis turut merampas enam keping I-Kad pekerja warga asing disyaki palsu," katanya.

Beliau berkata, lapan suspek yang ditahan kelmarin direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Klang bermula dari tarikh tangkap sehingga Ahad ini manakala suspek yang ditahan semalam direman pada Ahad ini di Mahkamah Klang di bawah seksyen yang sama.

Fazlisyam berkata, pihaknya masih percaya terdapat ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dan akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki kumpulan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!