Projek tiga jalan utama di Pulau Pinang perlu 3 tahun

Kon Yeow (lima dari kiri) bersalaman dengan Azmi selepas menandatangani perjanjian di Komtar tadi.
Kon Yeow (lima dari kiri) bersalaman dengan Azmi selepas menandatangani perjanjian di Komtar tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Projek tiga jalan utama bagi pakej kedua iaitu Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu akan bermula pada 31 Oktober ini dengan tempoh pelaksanaan projek dijangka selama 3 tahun.

Jajaran pakej itu adalah salah satu komponen di bawah projek jalan utama dan terowong yang bertujuan untuk menambah baik penyuraian trafik di kawasan yang mengalami kesesakan jalan raya yang serius.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kos projek bernilai RM851 juta itu akan dilaksanakan berdasarkan basis kontrak 'lump sum'.

Menurutnya, pakej tersebut merupakan salah satu daripada empat cadangan skop di bawah inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan nilai keseluruhan RM46 bilion.

"Jajaran pakej kedua sepanjang 5.7 kilometer ini akan menghubungkan Lebuhraya Thean Teik, Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berdekatan Jabatan Laut, Gelugor.

"Jajaran ini merangkumi seksyen jejambat (elevated section) sebanyak 70 peratus dan selebihnya adalah seksyen 'at-grade'.

"Kita bermula dengan pakej kedua dahulu yang mana, pakej pertama adalah dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang manakala pakej ketiga adalah Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Projek ini juga termasuk dengan pembinaan terowong dasar laut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar tadi.

Terdahulu, Kon Yeow mewakili Kerajaan Pulau Pinang menandatangani perjanjian bersama syarikat konsesi, Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn Bhd yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Azmi Khalid.

Artikel Berkaitan:

Kedua-duanya menandatangani perjanjian 'Sub Agreement In Relation To The Construction Of A By-Pass From Bandar Baru Air Itam (Farlim) Connecting to Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (Package 2) In The State Of Penang'.

Kon Yeow menambah, projek tersebut ditawarkan kepada CZC Sdn Bhd pada 2013 melalui proses tender terbuka bagi pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci untuk projek jalan utama serta terowong.

"Lanjutan perolehan kelulusan kajian Impak Alam Sekitar (EIA- Jadual Kedua) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 7 November 2017 bagi projek ini. Kelulusan ini diberi tempoh dua tahun maka kita akan memulakan kerja pada 31 Oktober ini, iaitu sebelum November.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk memulakan projek jalan utama ini dengan pakej kedua. 2 Oktober lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang bersetuju menandatangani 'sub agreement' pakej kedua bagi pelaksanaan kerja pembinaan," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, projek yang akan menggunakan kepakaran kontraktor tempatan itu akan dimulakan di Lebuhraya Thean Teik, Air Itam.