Pengganti tokoh Al-Khawarizmi

A
A

MINGGU lalu, negara gempar dengan berita seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mahu terjun daripada tingkat 19 selepas dikatakan bertengkar dengan ibunya gara-gara penggunaan telefon bimbit.

Beberapa minggu sebelum itu, negara dikejutkan dengan penularan video seorang kanak-kanak koma tetapi tangannya masih bergerak seolah-olah bermain permainan video.

Di Filipina pula, timbul cerita penderitaan seorang budak berusia enam tahun akibat gangguan saraf di bahagian muka, mata berkelip-kelip tanpa berhenti dan sering sakit kepala sejak Julai lalu akibat menghabiskan masa lebih 15 jam melihat skrin selular telefon bimbit.

Dr Victoria L Dunckley iaitu doktor pakar yang baharu dinobatkan America’s Top Psychiatrists dan berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kajian kesan utama waktu-skrin atau screen-time kepada kesihatan dan perkembangan otak akibat gangguan psikiatri dan ketagihan.

Dunkley menegaskan, media skrin elektronik merangsang sistem saraf deria, kognitif dan psikologi pengguna sekali gus menukarkannya kepada bentuk tekanan.

Ia mencetuskan reaksi pertembungan tinggi bertentangan dengan asal pembentukan kejadian anggota badan manusia.

Kanak-kanak yang berusia dua tahun jika dibiar memandang skrin untuk satu jangka masa tanpa kawalan, pasti mengalami masalah perkembangan bahasa, kemahiran membaca dan memori jangka pendek mereka.

Sebenarnya, telefon mudah alih dan peranti tanpa wayar berskrin mengeluarkan medan elektromagnet atau electromagnetic fields (EMF) serta radiasi frekuensi radio berdenyut atau pulsed radiofrequency radiation (RFR) secara berterusan sekali gus memberi kesan kepada sistem saraf.

Kajian Dunkley mendapati, kanak-kanak dan remaja di AS menghabiskan masa lapan sehingga 11 jam sehari dengan gajet digital.

Penulis percaya pembelajaran berkaitan pengkomputeran akan membawa kepada aspek artificial intelligent (AI), data besar (big data), internet of things (IoT) dan kejuruteraan komputer yang bakal menjadi teras pekerjaan pada masa akan datang.

Namun, kita harus mula mengorak langkah mencipta pelbagai aplikasi permainan berfaedah menjurus kepada pemupukan teknologi digital, AI, data besar, IoT dan kejuruteraan komputer.

Justeru, kita seharusnya memupuk penggunaan pengkomputeran digital agar seorang lagi Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi boleh dilahirkan.

Al-Khawarizmi mencipta angka 0 dan 1 antara 780 – 850 Masihi menerusi bukunya bertajuk Al-Jabr yang kemudian diterjemah kepada bahasa Latin iaitu Algorithmo De Numero Indorum pada abad ke-12. Teknologi digital

Kehebatan teknologi digital berasas kepada dua kekunci angka 0 dan 1 ini sebagai kiraan bineri dalam bahasa sistem pemprosesan.

Kekunci itu ditemui Al-Khawarizmi selepas meneliti surah al-Ankabut yang mengkias: “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain ALLAH adalah seperti labah-labah yang membuat rumah.

Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui; Sesungguhnya ALLAH mengetahui apa saja yang mereka seru selain ALLAH. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana; Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu; ALLAH menciptakan langit dan bumi dengan hak. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan ALLAH bagi orang-orang mukmin.”

Penulis percaya teknologi digital tersebut akan mendominasi sebahagian besar sektor pekerjaan kelak.

Justeru, penggunaan telefon bimbit keterlaluan perlu dihentikan dan ditukar ganti kepada perisian berfaedah bagi menangkis gejala yang tidak berfaedah

Penggunaan teknologi komputer dan sosial media yang keterlaluan pasti memberi kesan buruk kepada manusia.

Dunia teknologi digital sebenarnya boleh memacu bidang pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.

Kita seharusnya mendalami pesanan ALLAH menerusi surah al-Alaq yang maksudnya: “Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah; Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam; Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya; Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas; kerana dia melihat dirinya serba cukup.”

Penulis percaya dunia teknologi digital, AI, data besar, IoT dan kejuruteraan komputer mesti diberi penekanan di kalangan kanak-kanak serta remaja di Malaysia ketika ini.

Mereka bakal memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor