Foodpanda: Dakwa penindasan, ketidakadilan berlaku

MyCC digesa untuk melihat isu pekerja servis penghantar makanan bermotosikal Foodpanda.
MyCC digesa untuk melihat isu pekerja servis penghantar makanan bermotosikal Foodpanda.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) digesa untuk melihat isu penindasan serta ketidakadilan yang berlaku kepada pekerja servis penghantar makanan bermotosikal Foodpanda.

Wakil Riders Foodpanda Se-Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini berkata, isu berkenaan timbul mulai 1 Oktober 2019 lalu apabila pihak pengurusan Foodpanda memaklumkan mengenai kadar pembayaran baharu kepada mereka.

Bagaimanapun menurut kenyataan berkenaan, kadar pembayaran berkenaan hanya terpakai kepada penghantar makanan di luar kawasan Lembah Klang.

"Menerusi skim pembayaran baharu, Foodpanda menghapuskan bayaran asas jam bekerja sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan.

"Kadar lama kami adalah kami dibayar asas RM4 sejam selain insentif pesanan antara RM3 hingga RM5 bagi setiap pesanan, bergantung prestasi individu iaitu Batch 1 hingga 5 dengan Batch 1 menerima insentif tertinggi.

"Yang peliknya, kadar ini hanya terpakai di luar Lembah Klang, menunjukkan lagi ketidakadilan oleh pihak pengurusan Foodpanda," katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Sebelum ini penghantar makanan Foodpanda turut melancarkan mogok bagi membantah pelaksanaan skim pembayaran baharu berkenaan sehingga mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang kemudiannya mengatur satu sesi dialog bersama kakitangan Foodpanda di kediamannya di Petaling Jaya.

Menerusi kenyataan berkenaan, wakil Riders Foodpanda Se-Malaysia berkata, kadar pembayaran baharu itu nyata 'menekan' pihak penghantar makanan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada perbincangan awal dibuat berhubung pelaksanaan kadar pembayaran baharu itu selain ia dimaklumkan dalam waktu yang singkat.

"Monopoli yang dipegang oleh Foodpanda membolehkan mereka melakukan penindasan ini. Kami harap pihak MyCC dapat melihat perkara ini," katanya.