Usahawan boleh guna studio TikTok Live secara percuma

Steven Sim (tengah) mendorong usaha memperluas rangkaian LIVE Hub supaya lebih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.
Steven Sim (tengah) mendorong usaha memperluas rangkaian LIVE Hub supaya lebih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.
A
A
A

USAHAWAN mikro dan kecil kini berpeluang memasarkan produk menerusi siaran langsung TikTok tanpa perlu mengeluarkan modal untuk menyediakan studio atau membeli peralatan sendiri.

Menerusi inisiatif TikTok Shop LIVE Hub hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia, usahawan boleh menggunakan kemudahan studio secara percuma selama dua jam bagi setiap sesi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kemudahan itu turut menyediakan latihan dan bimbingan bagi membantu usahawan menguasai teknik pemasaran digital serta meningkatkan jualan dalam talian.

Menurutnya, studio berkenaan dilengkapi kemudahan kalis bunyi, Internet berkelajuan tinggi, lebih 500 pilihan latar belakang digital dan pelbagai kesan khas bagi menghasilkan siaran langsung lebih menarik.

Steven Sim
Steven Sim

“Usahawan hanya perlu membawa produk masing-masing untuk memulakan sesi jualan secara LIVE.

“Petugas teknikal turut disediakan bagi membantu mereka menggunakan kemudahan tersebut,” katanya selepas merasmikan TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada Ahad.

Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pusat terbaharu itu mempunyai dua studio LIVE dan sebuah pusat latihan dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 10,000 usahawan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usahawan turut berpeluang mengikuti latihan penghasilan video pendek, pemasaran dalam talian dan teknik jualan LIVE bagi meningkatkan kemahiran mempromosikan produk masing-masing.

Menurutnya, kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperluas akses pemasaran digital kepada lebih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana.

Katanya, ketika beliau mula menerajui KUSKOP pada Disember 2025, hanya terdapat tiga TikTok Shop LIVE Hub di seluruh negara iaitu di Penampang, Sabah; Ibu Pejabat TEKUN Nasional di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor.

Bagaimanapun, tiga lagi pusat dibuka tahun ini di Kota Bharu, Kelantan; Kuantan, Pahang dan terbaharu di Bandar Perda, Pulau Pinang.

Perasmian TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam menjadikan Pulau Pinang lokasi keenam bagi inisiatif kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia.
Perasmian TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam menjadikan Pulau Pinang lokasi keenam bagi inisiatif kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop Malaysia.

“Ketika ini terdapat enam pusat dengan keseluruhan 12 studio LIVE, tiga pusat latihan dan sebuah studio podcast.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu kemudahan seumpama itu diwujudkan di setiap negeri, tertakluk kepada kemampuan TEKUN Nasional dan KUSKOP,” katanya.

Mengulas pencapaian inisiatif berkenaan, Steven berkata, lebih 1,300 usahawan yang menyertai kerjasama itu merekodkan jualan terkumpul melebihi RM45 juta menerusi platform TikTok Shop setakat September 2026.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan platform digital mampu membuka peluang pasaran lebih luas kepada peniaga kecil, termasuk mereka yang baharu memulakan perniagaan atau menghasilkan produk dari rumah.

Menurutnya, penggunaan teknologi digital membolehkan usahawan menjangkau pelanggan di seluruh negara tanpa perlu membuka cawangan baharu atau menanggung kos operasi yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada TikTok atas suntikan dana RM250 juta bagi membantu merancakkan perniagaan di Malaysia menerusi misi Hebatkan Perniagaan Malaysia.

Steven Sim (dua dari kiri) merasmikan TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada Ahad.
Steven Sim (dua dari kiri) merasmikan TikTok Shop LIVE Hub di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada Ahad.

Kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran TikTok Shop dalam teknologi dan e-dagang dengan rangkaian pembangunan usahawan serta kemudahan pembiayaan TEKUN Nasional.

Menerusi kerjasama itu, TikTok Shop menyediakan studio LIVE, sokongan teknikal, latihan dan platform jualan dalam talian, manakala TEKUN Nasional membantu usahawan mendapatkan bimbingan perniagaan serta akses kepada pembiayaan bersesuaian.

Steven berkata, KUSKOP akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak industri bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan, mempercepat proses kelulusan serta meningkatkan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan.

TikTok Shop LIVE Hub Pulau Pinang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, jam 10 pagi hingga 6 petang.

Usahawan yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai kelas latihan atau membuat tempahan studio boleh melayari https://tiktokshoplivehub.com/ atau mengunjungi akaun TikTok @livehubmy.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan