'Banjir kali ini makin teruk'

Hujan lebat hampir dua jam mengakibatkan beberapa rumah penduduk mengalami banjir kilat.
A
A

PETALING JAYA - Hujan lebat hampir dua jam mengakibatkan beberapa rumah di Kampung Chempaka dinaiki air dalam banjir kilat yang berlaku petang semalam.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ah Kaw, 56, berkata, banjir kilat kali ini agak teruk berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini banjir kilat ada juga berlaku tapi tak lama dan tak banyak seperti kali ini. Memang air cepat naik mungkin disebabkan hujan agak lebat berterusan beberapa jam.

"Barang-barang elektrik saya banyak yang rosak, cuma dokumen peribadi saja yang sempat saya selamatkan namun saya bersyukur kerana saya dan keluarga selamat," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Ben Leong, 32, berkata, dirinya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membuat sesuatu agar banjir kilat tidak berlaku lagi selepas ini.

"Tak tahu apa puncanya, namun hujan turun memang sangat lebat. Banyak barang milik keluarga saya rosak.

"Saya berharap pihak berwajib dapat lakukan sesuatu namun dalam masa sama saya berterima kasih kepada pihak pasukan penyelamat yang bertindak pantas. Tak lupa juga terima kasih saya ucapkan kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin yang datang melawat dan menghulurkan bantuan," katanya.

Penduduk giat membersihkan rumah mereka setelah air surut dalam kejadian banjir kilat petang semalam.
Penduduk giat membersihkan rumah mereka setelah air surut dalam kejadian banjir kilat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, hampir 80 rumah di kawasan Kampung Chempaka di sini dinaiki air apabila hujan lebat berterusan hampir dua jam.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata, pihaknya telah membuka pusat pemindahan sementara untuk penduduk terlibat di balai raya di kampung berkenaan.

"Pusat pemindahan telah dibuka untuk penduduk yang terlibat. Penduduk yang terlibat diharap dapat membuat laporan polis untuk kita dapatkan bilangan rumah yang dinaiki air.

"Ini bagi memudahkan proses seterusnya dijalankan dan masa sama saya menasihatkan penduduk agar menjaga barangan berharga masing-masing," katanya.

Menurutnya, setakat ini punca banjir kilat masih lagi dalam siasatan.

"Kita masih lagi menyiasat punca banjir kilat ini, saya difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melakukan tinjauan di lokasi. Hujan lebat kali ini agak lama dan berterusan hampir dua jam berdasarkan laporan yang saya terima.

"Buat masa ini saya masih menjalankan pemantauan di lokasi banjir kilat ini dan saya juga sudah berhubung dengan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengangkut barangan seperti perabot yang rosak," katanya.