Keluarga Altantuya tarik balik rayuan

Kes Altantuya Shaariibuu
A
A

PUTRAJAYA - Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu hari ini menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk mengguna pakai keputusan sabitan jenayah di Mahkamah Persekutuan berhubung kes pembunuhan model itu dalam saman sivil.

Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Altantuya memaklumkan panel tiga anggota Hakim Mahkamah Rayuan berhubung penarikan balik rayuan itu tanpa sebarang perintah kos.

Hakim, Datuk Dr Badariah Sahamid yang mempengerusikan panel itu kemudiannya mengetepikan rayuan tersebut. Turut bersidang ialah Hakim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Nor Bee Ariffin.

Keluarga itu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Oktober 2018 yang menolak permohonan mereka untuk menggunakan bukti dalam keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mensabitkan dua anggota polis dalam pembunuhan itu dalam saman sivil RM100 juta mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan berkata, Seksyen 43 Akta Keterangan tidak membenarkan penggunaan sabitan jenayah dalam kes sivil.

Keluarga Altantuya memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 dengan mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi serta menuntut ganti rugi termasuk tuntutan pergantungan.

Mereka menamakan dua anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006. Dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan namun pembebasan mereka dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, berikutan rayuan pendakwaan.

Sangeet Kaur memberitahu pemberita bahawa rayuan itu ditarik balik berikutan kedudukan undang-undang menyatakan sabitan jenayah tidak boleh digunakan dalam tuntutan sivil.

Peguam Kanan Persekutuan Norinna Bahadun mewakili tiga responden manakala Sangeet menyebut bagi pihak peguam Abdul Razak. - Bernama