Perhalusi kesan tarik balik rayuan kalimah ALLAH - Sultan Johor

Laporan Sinar Harian pada 15 Mei lalu. Sultan Ibrahim (kanan).
Laporan Sinar Harian pada 15 Mei lalu. Sultan Ibrahim (kanan).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan persekutuan perlu memperhalusi sebaiknya kesan keputusan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah ALLAH.

Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi pada Rabu, baginda bertitah, ini kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama dan sentimen umat Islam negara ini.

Titah baginda, peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah ALLAH perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk akan terus terpelihara.

"Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

"Di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang.

"Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam senikata Lagu Bangsa Johor," titah baginda.

Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada Selasa, media melaporkan kerajaan tetap berpendirian bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam penerbitan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, kecuali di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, juga tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.