Maahad Darul Anuar ditukar nama SMUDA

Nik Hamdi (kiri) beramah mesra bersama pelajar baru di SMUDA, pagi semalam.
Nik Hamdi (kiri) beramah mesra bersama pelajar baru di SMUDA, pagi semalam.
A
A
A
KOTA BHARU - Maahad Darul Anuar (Mada) memulakan sesi persekolahan baharu semalam sebagai institusi di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan dikenali dengan nama baharu, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Anuar (SMUDA).

Pengetua SMUDA, Nik Hamdi Abdul Ghani berkata, dia bersyukur kerana kemasukan pelajar baharu adalah melebihi jangkaan dan melebihi separuh daripada pelajar tahun lalu telah mendaftar untuk menyambung pelajaran mereka di SMUDA.

Beliau berkata, SMUDA menempatkan 217 pelajar iaitu melibatkan 130 pelajar tingkatan satu telah mendaftar manakala 23 pelajar tingkatan dua, 21 pelajar tingkatan tiga (21 orang), 20 pelajar tingkatan empat dan 23 pelajar tingkatan lima, semalam.

"Bilangan pelajar Mada tahun lalu adalah 108 orang termasuk 26 orang yang telah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi daripada baki 82 orang pelajar lagi lebih 50 orang sudah mendaftar semula dengan kami.

"Kita sasarkan 120 pelajar tingkatan satu tetapi sehingga kini sudah 130 orang yang mendaftar dan kita terpaksa tolak permohonan lewat yang datang memandangkan YIK hanya menetapkan empat kelas untuk mereka tetapi kita masih buka tempat bagi pelajar tingkatan lain," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Mengulas mengenai kakitangan sekolah itu Nik Hamdi berkata, guru yang berkhidmat dengan di situ sebelum ini 13 orang telah ditemuduga YIK dan penempatan mereka akan ditentukan selepas ini.

Katanya, sehingga kini YIK telah menempatkan lapan guru dan lapan lagi bakal ditambah secara berperingkat pada minggu ini.

Difahamkan, Nik Hamdi pernah berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di situ pada tahun 2008 sebelum ia ditukar sebagai sekolah swasta (Mada) pada 2009.

"Saya harap kami dapat menggembleng kembali tenaga untuk melahirkan pelajar yang cemerlang termasuk dari sudut akhlak dan akademik. YIK menitikberatkan kecemerlangan dua aspek itu agar tidak berlaku kepincangan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Perpindahan pengurusan Mada kepada pihak YIK pada pertengahan Disember lalu yang dibuat atas permintaan keluarga besar Nikmatillah menimbulkan kontroversi setelah mendapat bantahan daripada pengetua Mada sebelum ini, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, isu itu selesai apabila wakil kepada Nik Omar menyerahkan secara rasmi Mada kepada YIK pada 26 Disember lalu.