X

Kindly register in order to view this article
!

Dua bayi perlukan RM130,000 rawat masalah jantung

Sui Hui (tengah) menunjukkan gambar Muhammad Aidil Firas yang memerlukan dana RM70,000 untuk kos pembedahan jantung sambil diperhatikan Zolhizan (dua dari kanan) dan Masnorwati (kanan).
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kegembiraan pasangan suami isteri menerima kehadiran cahaya mata pertama selepas menanti hampir 19 tahun bagaikan direntap apabila bayi mereka disahkan menghidap jantung berlubang.

Anak kepada Zolhizan Zakaria,42, dan Masnorwati Abd Rashid,37, dilahirkan sihat pada 8 Mei lalu, namun mereka menyedari nafas bayi lelaki, Muhammad Aidil Firas tidak lancar ketika dia berusia dua bulan.

Zolhizan yang berasal dari Kuala Nerang itu berkata, ketika membawa bayi mereka mendapatkan suntikan vaksin di klinik kesihatan, jururawat mendapati nafas anaknya tidak normal dan dia terus dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan lanjut.

"Memang kami terkejut selepas doktor memaklumkan anak menghidapi masalah jantung berlubang kerana sebelum ini dia kelihatan ceria dan sihat sama seperti bayi lain.

"Doktor memaklumkan, Muhammad Aidil perlu melakukan pembedahan segera bagi merawat masalah jantungnya namun kami buntu apabila diberitahu kos sebanyak RM70,000 diperlukan untuk membuat pembedahan berkenaan," katanya ketika ditemui media di sini.

Zolhizan yang bekerja sebagai pemandu trak hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 sebulan manakala isterinya pula tidak bekerja membuatkan mereka buntu bagi mencari dana untuk menampung kos pembedahan anak mereka.

Bagaimanapun, Zolhizan dan Masnorwati bersyukur apabila One Hope Charity & Welfare Berhad tampil membantu bagi mengumpul dana untuk bayi mereka.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare Berhad, Chua Sui Hui berkata, pihaknya menyumbangkan wang permulaan RM10,000 kepada bayi berkenaan bagi membolehkannya melakukan pembedahan yang akan dibuat di sebuah hospital swasta pada Khamis ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang bayi perempuan berusia 10 hari turut memerlukan dana RM60,000 bagi melakukan pembedahan akibat masalah jantung.

Anak kepada pasangan, Mohd Shafizuan Rodzi,24, dan Nor Syamimi Abu Hassan,25, itu disahkan menghidapi jantung berlubang, saluran injap sempit selain darahnya didapati mula mengalir ke paru-parunya.

Mohd Shafizuan berkata, masalah jantung anaknya Nur Anis Zulaikha disedari bermasalah selepas badannya bertukar kebiruan ketika minum susu dan dia mengalami sesak nafas.

"Selepas disahkan menghidapi masalah jantung, anak kami terus dimasukkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak (NICU) untuk pemantauan.

"Doktor memaklumkan yang dia perlu menjalani pembedahan segera namun kami tidak mempunyai wang mencukupi kerana saya hanya bekerja sebagai tukang rumah dan memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan sahaja,"katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafizuan merayu kepada orang ramai agar dapat membantunya mengumpul dana bagi membolehkan anaknya melakukan pembedahan yang akan dibuat pada 16 Oktober depan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun One Hope Charity & Welfare (3201428817-Public Bank Berhad).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus