Sumbangan veteran ATM pengorbanan besar pada negara

Pegawai Waran II (B) Muhamat Sular, 77, menunjukkan pingat-pingat yang diterima setelah 22 tahun berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Foto Bernama
Pegawai Waran II (B) Muhamat Sular, 77, menunjukkan pingat-pingat yang diterima setelah 22 tahun berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sumbangan kepada negara oleh setiap veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih-lebih lagi apabila nyawa dipertaruhkan bukanlah suatu perkara yang boleh dilupakan begitu sahaja.

Menceritakan detik paling tidak dapat dilupakan dalam hidupnya, Pegawai Waran II (B) Muhamat Sular, 77, melahirkan rasa syukur kerana dapat bernafas sehingga hari ini apabila pernah menjadi mangsa dalam satu serangan hendap oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) pada 28 Feb 1965 di Sungai Lebam, Pengerang, Johor.

Sukar untuk Muhamat melupakan peristiwa ngeri itu kerana beliau cedera parah setelah ditembak di bahagian dada, paha dan tangan serta lebih menyayat hati sembilan rakannya yang berada di lokasi sama sewaktu itu gugur dalam pertempuran.

“Bagai mati hidup semula. Ketika sedang buat khemah (untuk berehat) petang itu, kami diserang hendap oleh PKI lebih kurang 34 orang sedangkan kami hanya 16 orang.

“Sembilan meninggal, satu luka parah iaitu saya, enam lagi bertempiaran lari cari bantuan. Saya tinggal dalam hutan dua hari dua malam selepas insiden itu dan hanya hidup dengan minum air sungai tanpa sebarang makanan,” katanya yang berkhidmat selama 22 tahun dengan ATM sejak 1964, ketika ditemui Bernama di kediamannya di Bandar Baru Sentul di sini baru-baru ini.

Mengimbas kembali sewaktu terpaksa bertahan di dalam hutan dalam keadaan cedera parah beliau berkata, suasana begitu sunyi sehingga tiada kedengaran bunyi serangga mahupun hidupan liar.

“Ketika itu saya hanya menahan bisa peluru sehinggakan membuang air pun tidak sedar. Apabila air (sungai) dah naik balik (air pasang) saya kembali ke pokok besar (untuk berteduh) sehinggalah hari ketiga,” katanya menambah kejadian itu adalah operasi pertama yang disertainya.

Beliau berkata, hanya pada hari ketiga selepas kejadian barulah bantuan daripada ATM tiba di lokasi bagi mencari mayat tentera yang gugur serta menjalankan operasi menyelamat sekiranya terdapat askar yang masih hidup susulan insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pada hari ketiga baru bantuan datang mencari jenazah dan nampak saya di belakang pokok besar dan saya menjerit, ‘Muhamat Sular, Platun Tujuh, C Company, kena tembak!’, kemudian saya pengsan semula.

Kesan kekal kecederaan di bahagian tangan Pegawai Waran II (B) Muhamat Sular, 77, akibat diserang hendap oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) pada 28 Februari 1965. - Foto Bernama
Kesan kekal kecederaan di bahagian tangan Pegawai Waran II (B) Muhamat Sular, 77, akibat diserang hendap oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) pada 28 Februari 1965. - Foto Bernama

“Mereka datang angkat (saya). Saya disuntik, luka dibalut, namun tangan serta bahagian tubuh yang luka sudah pun berulat ketika itu kerana tidak dapat sebarang bantuan perubatan selama dua hari,” katanya yang berasal dari Jasin, Melaka.

Muhamat memberitahu, beliau telah dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana ketidakupayaan fizikal akibat insiden itu, menyebabkan beliau tidak mampu lagi untuk mengangkat sesuatu yang berat.

Sementara itu berhubung Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 Muhamat hanya mengharapkan supaya agihan sumbangan yang akan diberikan itu nanti adalah sama rata kepada semua yang layak menerima.

“Tabung Pahlawan ini biarlah pembahagian itu serata, semua dapat. Jangan orang itu dapat lebih orang ini dapat sikit,” katanya yang tetap bersyukur dengan sebarang jumlah yang akan diberi nanti bagi meringankan beban hidupnya.

Dalam pada itu Staff Sarjan (B) Abu Seman Ahmad, 72, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Malaysia Tambahan di sini terkenang kembali Operasi Doyai Musnah pada 1977 apabila terlibat dalam insiden yang hampir meragut nyawanya.

Beliau yang lebih mesra disapa Pak Abu berkata, operasi bagi menghapuskan anggota komunis di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Perak itu turut mengancam nyawa seorang pegawainya ketika itu apabila seorang lagi rakannya terpijak suis jerangkap samar.

“Booby trap itu mereka letak kat tepi sungai semasa itu Pak Abu nak pakai seluar celoreng, membelakangkan sungai, dan pegawai (ATM) seorang itu terkena (serpihan jerangkap samar) kat dada sebab dia berada di depan sungai tetapi Pak Abu terkena di tulang belakang,” katanya yang berkhidmat bersama ATM selama 21 tahun sejak 1969.

Mengenai KTP 2019 beliau yang kini berstatus OKU selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 1999 berharap supaya bantuan dapat diberikan sebulan sekali bagi meringankan beban kerana wang pencen sahaja tidak mencukupi untuk mereka menjalani kehidupan.

Pak Abu berkata, selepas insiden kemalangan jalan raya itu yang menyebabkan kecederaan fizikal pada bahagian kakinya juga tidak mampu untuk bekerja dan lebih menyedihkan, disahkan menghidap kerosakan buah pinggang akibat daripada kemalangan tersebut sehingga hari ini.

Sarjan (B) Abdullah Yasin, 71, yang berkhidmat dalam ATM selama 28 tahun ketika ditemui di kediamannya di sini hanya terlantar akibat strok sebelah badan sejak Mac lalu.

Beliau yang ditemani anak bongsunya, Fatimah, 56, tidak menaruh harapan besar terhadap pemberian daripada Tabung Pahlawan namun menganggap setiap sumbangan itu sebagai rezeki.

Kempen Tabung Pahlawan 2019 dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 19 September lepas bertujuan mengumpul dana bagi membantu veteran ATM serta ahli keluarga mereka dan antara yang menerima manfaat adalah veteran kelainan upaya, balu dan anak-anak dalam kategori OKU serta veteran yang terlibat dalam musibah.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan 2019 menerusi akaun Affin Bank 1059-5000-3201 atas nama Tabung Rayuan Hari Pahlawan. - Bernama