Beringatlah... makanan segera musuh manusia

A
A

NIKMATNYA tatkala makanan segera seperti aiskrim, kek, kentang goreng mahupun burger masuk ke mulut. Serasa 'dunia ini ana yang punya' buat seketika ketika segala rasa manis, masin dan berlemak memenuhi kehendak nafsu dan anak tekak.

Ya, ia sukar ditolak!

Meskipun masyarakat sudah lama mengetahui bahawa ia buruk untuk tubuh badan kerana kandungan kalori yang sangat tinggi dan nutrisi yang rendah, kita dengan sengaja telah mengendahkannya.

Mengapa makanan segera begitu digemari dan sukar untuk kita menolak 'godaan' itu? Sekurang-kurangnya terdapat tiga alasan kukuh untuk itu iaitu harga yang murah, mudah disiapkan pada tempoh masa lebih pantas dan makanan jenis itu biasanya kaya dengan rasa manis, masin dan berlemak.

Namun, apa pun pandangan dilontarkan, masyarakat Malaysia memang tidak kisah. Pun demikian, perlu diingatkan bahawa pengambilan makanan segera secara berlebihan memicu pelbagai penyakit kronik. Beringatlah sebelum musibah terjadi.

Awas, penyakit kronik menanti!

PENYAKIT kronik (turut dikenali sebagai penyakit tidak berjangkit) seperti penyakit jantung, kencing manis (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hipertensi), penyakit mental termasuk kanser menyumbang kepada 47 peratus daripada keseluruhan beban penyakit dunia. Sebanyak 60 peratus daripadanya menjadi keseluruhan punca kematian.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 80 peratus daripada keseluruhan kematian akibat daripada penyakit-penyakit kronik berlaku dalam negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Daripada jumlah tersebut, 50 peratus kematian berlaku secara pramatang dalam kalangan mereka yang berusia di bawah 70 tahun. Di Malaysia, penyakit-penyakit kronik telah lama menjadi satu cabaran dan beban untuk negara.

Seawal tahun 2000, laporan pertama Kajian Kecederaan dan Beban Penyakit Rakyat Malaysia telahpun melaporkan bahawa penyakit jantung dan penyakit serebrovaskular sebagai dua punca kematian utama untuk kedua-dua jantina.

Selang dua tahun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula mengeluarkan statistik yang menunjukkan bahawa sekitar 71 peratus daripada keseluruhan kematian di Malaysia disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit.

Data itu dilihat telah meletakkan beban yang berterusan kepada sistem kesihatan disebabkan oleh dua perkara iaitu sifat kronik penyakit tersebut dan juga usaha kerajaan untuk memenuhi permintaan rawatan penyakit-penyakit tersebut.

Untuk menjelaskan sifat kronik penyakit tidak berjangkit dan bagaimana ia meletakkan beban kepada kewangan dan tenaga kerja yang berterusan, kita gunakan penyakit tekanan darah tinggi sebagai contoh.

Secara asasnya, penyakit tekanan darah tinggi boleh membuatkan penghidap berisiko untuk mengalami komplikasi seperti strok, serangan jantung, kegagalan jantung dan buah pinggang.

Memandangkan tiada rawatan untuk mengundurkan semula kerosakan dalam keupayaan dinding salur darah untuk melakukan adaptasi, rawatan menggunakan ubat antihipertensi yang ada hanyalah sekadar untuk mengawal tekanan darah demi mencegah atau melengahkan komplikasi yang tidak diingini.

Oleh yang demikian, pesakit tersebut perlulah mengambil ubat antihipertensi setiap hari untuk jangka masa yang lama ataupun untuk sepanjang hayat mereka.

Sifat kronik itu menyebabkan kos yang berterusan terpaksa diserap demi menanggung kos ubat yang diberi untuk jangka masa yang lama. Sekiranya mereka mendapatkan rawatan daripada sektor swasta dan membayar menggunakan wang sendiri sekalipun, sifat kronik penyakit mereka akan menjadi beban kewangan dan juga fizikal yang berterusan. Gandakan bilangan pesakit itu dan dicampur pula dengan unjuran peningkatan bilangan penghidap penyakit kronik, akan menjadi satu sifir yang mudah untuk kita fahami bagaimana ia membebankan dari sudut kewangan.

Beban akan menjadi lebih teruk sekiranya komplikasi telahpun berlaku. Komplikasi seperti kegagalan buah pinggang bukan sahaja mengganggu kualiti kehidupan, kekerapan hemodialisis tiga kali seminggu itu juga akan menyebabkan kos berganda terpaksa ditanggung.

Bagi alasan kedua pula, ia berkait rapat dengan peningkatan bilangan penghidap penyakit kronik di Malaysia. Untuk memenuhi keperluan rawatan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa menambah, menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan dan institusi seperti klinik kesihatan dan hospital bagi memenuhi peningkatan bilangan pesakit yang ada.

Pada tahun 2018, bajet kesihatan telah meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM26.58 bilion. Jumlah itu terus meningkat kepada RM29 bilion pada tahun 2019.

Makanan segera

Terdapat dua faktor yang menyumbang kepada tercetusnya penyakit-penyakit kronik pada seseorang. Dua faktor yang dimaksudkan itu ialah kendiri dan persekitaran.

Faktor kendiri merujuk kepada sesuatu yang tidak dapat diubah, seperti kecenderungan genetik, sejarah keluarga, umur dan jantina.

Berkenaan dengan faktor persekitaran, ia melibatkan pelbagai perkara seperti diet seseorang, tahap aktiviti fizikal, keadaan sekeliling (suhu, cuaca, indeks pencemaran), kesihatan mental dan juga tabiat dalam menangani stres.

Pun demikian, dalam bab penyakit kronik, makanan segera memainkan peranan. Jika dilihat kembali, variasi iklan makanan segera yang sering bermain di kaca televisyen mahupun di dada akhbar, mengandungi gula, garam, bahan pengawet dan kalori yang banyak.

Bercerita tentang kandungan gula atau glukosa yang tinggi dalam manisan seperti ais krim dan minuman berkrim boleh menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah dan lebih kalori yang tidak digunakan.

Sebenarnya, pengambilan makanan yang tinggi dengan glukosa mampu membekalkan tenaga yang banyak namun dengan syarat, ia digunakan. Itu sebab atlet profesional mengambil karbohidrat yang banyak bagi membekalkan badan mereka dengan jumlah tenaga yang tinggi.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang kurang aktif. Tanpa aktiviti yang memerlukan kalori yang tinggi, gula berlebihan akan disimpan di dalam hati dalam bentuk glycogen.

Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan rintangan insulin yang boleh mencetuskan penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). Lebihan gula dalam badan juga boleh melalui proses yang mana ia akan ditukarkan menjadi lemak. Pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti.

Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisme gula berlebihan itu juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung.

Selain itu, makanan segera juga mengandungi garam yang tinggi. Hidangan makanan segera seperti kentang goreng dan ayam goreng misalnya, mengandungi jumlah garam yang banyak untuk melazatkan rasanya. Sekiranya diambil secara berlebihan, seseorang boleh menghidap tekanan darah tinggi.

Dalam pada itu, makanan segera juga kurang mengandungi serat. Malahan, kebanyakan makanan segera tidak langsung mengandungi serat dalamnya sedangkan ia terbukti memainkan peranan yang penting dalam mencegah penyakit kronik.

Pinggan Sihat Malaysia

Selepas memperkenalkan Piramid Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan inisiatif Pinggan Sihat Malaysia (PSM).

PSM merupakan alat komunikasi yang lebih berkesan untuk menterjemahkan saranan daripada Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan dalam usaha membantu rakyat Malaysia mengamalkan tabiat makan secara sihat.

Melalui pengenalan PSM, gambaran suatu pinggan yang sihat itu dapat dizahirkan dengan jelas dan mudah. Ia juga mendorong rakyat Malaysia untuk meningkatkan pengambilan buah dan sayur, mengawal sukatan nasi, mi, roti dan bijirin lain, menggalakkan pengambilan bijirin penuh, memastikan pengambilan ikan, ayam, daging dan kekacang yang mencukupi serta menggalakkan pengambilan air kosong.

Tambahan lagi, konsep makanan seimbang yang diketengahkan oleh PSM itu secara tidak langsung menyarankan hidangan yang rendah lemak, gula dan garam sejajar dengan Panduan Diet Malaysia, 2010.

ANEKDOT

BAGAIMANA untuk mengambil makanan segera dengan cara yang lebih sihat?

Jika anda tidak mampu untuk mengelaknya, kurangkan kekerapan pengambilan makanan segera. Jika itupun merupakan sesuatu yang sukar, anda mungkin boleh cuba kaedah berikut:

1) Pastikan saiz hidangan kecil

-Jika restoran makanan segera menawarkan beberapa saiz sandwich, pilihlah saiz hidangan yang paling kecil. Elakkan daripada mengambil menu burger yang mengandungi dua atau tiga keping daging lembu kerana jumlah kalori dalam makanan segera seperti itu boleh menjadi hampir 800 kalori. Pilihlah burger biasa atau bersaiz kanak-kanak yang mempunyai kira-kira 250 kalori.

2) Beri perhatian kepada penerangan dalam menu

-Hidangan dilabel deep-fried, pan-fried, basted, batter-dipped, breaded, creamy, crispy, scalloped, atau au gratin biasanya tinggi dengan kalori, lemak yang tidak sihat dan natrium. Sebaliknya, boleh memilih menu makanan segera yang disediakan dengan cara yang membabitkan kurang minyak dan penggunaan garam.

3) Tumpukan perhatian kepada daging panggang

Elakkan makanan goreng dan dilapisi tepung roti seperti sandwic, ayam rangup dan filet ikan dilapisi tepung roti atau daging yang diproses seperti sosej, bacon, hot dog atau ham. Cuba menikmati ayam belanda, dada ayam atau daging lembu panggang. Memilih makanan yang disaluti dengan tepung yang tebal akan menyebabkan seseorang mengambil lebih banyak karbohidrat daripada sepatutnya.

4) Pilihan hijau

Pilih hidangan utama salad dengan ayam panggang, udang atau sayur-sayuran dengan sos bebas lemak atau rendah lemak dan bukannya sos salad biasa. Kebanyakan kedai makanan segera kini meletakkan beberapa pilihan sayur dalam menu mereka. Pastikan walau apapun hidangan, dapatkan satu hidangan yang berteraskan sayur-sayuran atau buah-buahan.

Anda juga boleh mengambil langkah untuk tidak mengambil tambahan seperti keju dan croutons, yang dengan cepatnya dapat meningkatkan jumlah kalori anda.

5)

Perhatikan apa yang anda minum

Minuman berkarbonat yang sering kali disediakan adalah sumber besar gula dan kalori tersembunyi. Secara purata, pek minuman berkarbonat besar berupaya untuk mengandungi sekitar 300 kalori dan 19 sudu gula! Tambahan lagi, jangan mudah terpedaya dengan air limau dan minuman buah-buahan kerana minuman seperti itu biasanya telah ditambah dengan gula dan tidak mengandungi zat yang diinginkan daripada buah-buahan. Jadikan satu tabiat untuk memastikan anda meminum air mineral dengan hidangan anda.

Dengan pengambilan makanan yang lebih sihat dan mengubah sedikit cara anda mengambil makanan segera, anda berupaya untuk mengurangkan risiko anda untuk menghidap penyakit kronik.