Kekurangan pekerja sosial antara cabaran tangani masalah sosial

Dr Wan Azizah ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Dr Wan Azizah ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kekurangan pekerja sosial antara punca ketidakcekapan pengurusan dalam menangani masalah sosial di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui bahawa pada masa ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mempunyai jumlah kakitangan yang cukup.

"Berdasarkan kajian MAMPU nisbah pekerja sosial JKM kepada populasi penduduk Malaysia ialah 1 (seorang) pekerja kepada 8,576 orang (1:8,576)

“Nisbah ini memang besar jika dibandingkan negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat 1 kepada 490, di Australia 1 kepada 1,040, United Kingdom 1 kepada 3,025 dan di negara jiran kita, Singapura 1 kepada 3,448,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu katanya, kepelbagaian fungsi di luar skop kerja yang terpaksa dipikul oleh pegawai JKM juga menyebabkan berlaku ketidakcekapan dalam pengurusan perlindungan sosial.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang mahu tahu sama ada kementerian akan mengkaji keberkesanan sistem perlindungan sosial di bawah JKM selepas didakwa Pelapor Khas PBB sebagai 'fragmented' dan tidak mempunyai pekerja sosial yang mencukupi.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementerian sedang mengambil beberapa langkah perubahan agar JKM dapat memberikan fokus kepada skop tugas pekerja sosial iaitu pengurusan kes kepada kumpulan sasar.

Antaranya melalui pelaksanaan Akta Profesion Kerja Sosial yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menangani masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial, kementerian telah mula berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar perkara ini dapat diselesaikan di samping meningkatkan kolaborasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kumpulan sasar menerima perlindungan sewajarnya," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada Mei lepas juga telah bersetuju supaya Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang ditubuhkan pada 2016, diaktifkan semula sebagai badan induk penyelarasan dasar dan program perlindungan sosial bagi memperkasakan sistem perlindungan sosial negara.

Katanya, di bawah MySPC, satu Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial telah ditubuhkan bagi menyelaras empat Jawatankuasa Kerja, di mana KPWKM telah diberi mandat untuk mengetuai Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial.

Menurut Dr Wan Azizah, mesyuarat MySPC akan diadakan pada 3 Disember ini bagi membincangkan draf Pelan Induk Perlindungan Sosial Kebangsaan serta cadangan untuk mewujudkan Sistem Pangkalan Data Nasional Perlindungan Sosial.

Sementara itu, merujuk kepada dakwaan Pelapor Khas PBB yang menyatakan bahawa sistem perlindungan sosial di Malaysia adalah ‘fragmented’, Dr Wan Azizah menjelaskan, kenyataan itu merujuk kepada sekurang-kurangnya 110 program perlindungan sosial di Malaysia yang dilaksanakan oleh 20 kementerian dan agensi, bukan hanya semata-mata yang berada di bawah JKM.

"Daripada 110 program perlindungan sosial ini, hanya 11 bantuan kebajikan berada di bawah tanggungjawab JKM," katanya.

Ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Dr Wan Azizah berkata, telah tiba masanya negara mempunyai akta yang mengawal selia pekerja sosial di negara ini seperti mana profesion lain seperti doktor dan peguam.

Tegasnya, ini kerana masih belum ada akta yang melindungi dan mengawal selia golongan ini walaupun kerja-kerja sosial di negara ini telah berjalan selama lebih 60 tahun.

"Beban sebagai pekerja sosial adalah tinggi dan ada bidang tugas yang perlu di 'follow-up', kita tidak mahu mereka terpaksa membuat kerja-kerja yang bukan di bawah tanggungjawab mereka," katanya.

Beliau berkata, undang-undang ini juga akan berfungsi mengawal selia profesion melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial menetapkan piawaian amalan dan menggalakkan pembangunan sosial pekerja itu. - Bernama