Kerajaan bakal lancar Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030

Kamarudin ditemui pemberita selepas majlis Hi-Tea Ketua Pengarang Media Sempena Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 hari ini.
Kamarudin ditemui pemberita selepas majlis Hi-Tea Ketua Pengarang Media Sempena Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dalam usaha membangunkan sektor pengangkutan mampan yang memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat seiring dengan status negara maju.

Majlis pelancarannya akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di KL Sentral pada 17 Oktober depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Kementerian Pengangkutan sejak 2016 lagi merancang untuk mewujudkan satu dasar bersama sebagai satu dasar yang meliputi keseluruhan pengangkutan.

"Sektor pengangkutan merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kecekapan dan kebolehpercayaan kemudahan dalam perkhidmatan pengangkutan adalah penting untuk menyokong aktiviti komersial serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Sehubungan itu, adalah menjadi satu keperluan kepada sektor pengangkutan untuk mempunyai satu dokumen polisi yang bersifat strategik dan holistik serta merangkumi pelbagai mod iaitu darat, udara dan air seperti yang ditekan dalam laporan National Transport Strategy (2015) oleh Bank Dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hi-Tea Ketua Pengarang Media Sempena Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Dasar Pengangkutan Negara yang bakal dilancarkan itu mempunyai visi dan misi untuk menjadikan pengangkutan awam yang terbaik buat rakyat.

"Di peringkat kementerian, kita merumuskan dasar ini. Ianya mempunyai visi dan misi untuk memastikan negara kita dapat memberikan khidmat pengangkutan awam yang terbaik kepada rakyat dan peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Aset-aset pengangkutan negara sama ada lapangan terbang, pelabuhan dan sebagainya akan memainkan peranan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi dan salah satu daripada pelabuhan, lapangan terbang yang terpenting. Kalau bukan di peringkat dunia sekalipun, setidak-tidaknya di rantau ini," katanya.

Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 menggariskan lima teras dasar iaitu memperkukuh tadbir urus ke arah persekitaran yang kondusif bagi sektor pengangkutan; mengoptimum, membina dan menyelenggara infrastruktur pengangkutan, perkhidmatan dan rangkaian bagi memaksimumkan kecekapan; memperkukuhkan aspek keselamatan, integrasi, ketersambungan dan kebolehcapaian bagi perjalanan yang lancar; maju ke arah ekosistem pengangkutan hijau; dan memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan.

Lima teras dasar itu direncana dalam misi menyediakan hala tuju strategik sektor pengangkutan yang mampan iaitu menyediakan hala tuju strategik untuk kementerian/agensi merancang dan membangunkan sektor pengangkutan; memperkemas inisiatif dan program untuk mencapai objektif dan matlamat yang sama; memastikan kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber; dan memastikan perancangan mengikut sektor melengkapi satu sama lain.