Jho Low bertugas sebagai penasihat TIA tanpa bayaran, kata saksi

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah dibayar bagi khidmatnya sebagai penasihat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan TIA berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada hari ke-18 perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

TIA dinamakan semula sebagai 1MDB pada September 2009.

Muhammad Shafee: Adakah Jho Low pernah dibayar bagi khidmatnya dalam TIA?

Shahrol Azral: Tidak.

Muhammad Shafee: Jadi, Jho Low melakukan kerja pro bono (tanpa bayaran) bagi TIA dan sebaliknya mengambil berbilion-bilion (ringgit)? Kenapa ahli perniagaan ini meluangkan masa yang begitu banyak tetapi dia langsung tidak mendapat bayaran?

Shahrol Azral: Ia bukanlah pro bono sebab dia menyatakan bahawa dia mewakili Terengganu, pada peringkat awal, dan kemudiannya kerajaan Persekutuan.

Muhammad Shafee: Tetapi dia tidak dibayar?

Artikel Berkaitan:

Shahrol Azral: Ya, dia tidak dibayar.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ada orang dalam UMNO iri hati hubungan Jho Low dengan Najib: Saksi