Bila budaya vape menyerap dalam masyarakat

A
A

CUTI hujung minggu lalu, Merak Jalanan singgah membeli-belah di sebuah pasar raya di ibu kota. Walaupun jam menunjukkan hampir 10.30 malam, di hujung sudut kawasan parkir pasar raya itu masih bercahaya dan meriah dengan manusia.

Rupa-rupanya gerai-gerai di kawasan parkir itu dipenuhi dengan ‘pencinta’ vape. Sekitar 10 ke 15 gerai semuanya berjualan barangan vape terutamanya cecair pelbagai perisa.

Ada yang perisa aiskrim vanila, tembikai susu malah ada perisa teh Thai.

Bahkan, menurut salah seorang peniaga, rokok elektronik paling popular ketika ini ialah yang bersaiz kecil seperti sebatang pen penanda highlighter.Menurutnya, gerai-gerai di situ telah beroperasi sejak lebih dua tahun lalu, namun hanya beroperasi menjelang tengah malam selama beberapa jam.

Yang pasti, laporan berita mengenai vape di Malaysia bukanlah baharu. Daripada vape perisa ganja, ancaman vape kepada kesihatan, bahaya rokok elektronik ketika menaiki kapal terbang sehinggalah saiz vape yang semakin kecil turut menarik minat remaja sekolah.

Sejak beberapa minggu lalu di Amerika Syarikat (AS), isu vape tiba-tiba menjadi panas sehingga menimbulkan panik.

Setakat dua hari lalu, dilaporkan 18 orang meninggal dunia gara-gara vape. Dilaporkan mangsa mengalami masalah kesihatan yang teruk pada organ paru-paru. Lebih 1,000 mangsa lain di AS terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah sistem pernafasan.

Namun, siasatan masih dijalankan sama ada ia disebabkan pengambilan berlebihan atau disebabkan cecair perisa.

Bagi pengguna tegar vape, tragedi di AS mungkin satu kes yang terpencil. Apatah lagi di media sosial beberapa status doktor mengenai bahaya vape kurang disenangi kelompok itu.

Bagi Merak Jalanan, dapatan kajian punca kematian di AS sangatlah penting kerana rokok elektronik menjadi budaya dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Adalah penting untuk mengelakkan tragedi sama tidak berulang di Malaysia.