Anak gajah betina ditemui mati di Kota Tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA TINGGI - Seekor anak gajah betina ditemui mati di Batu 13, Jalan Kota Tinggi - Mersing di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Johor Salman Saaban berkata, anak gajah dianggar berumur 6 tahun itu ditemui kira-kira 12 tengah hari tadi oleh pegawai Jabatan Perhilitan Johor selepas menerima maklumat orang awam.

"Siasatan pihak kami mengesyaki kematian anak gajah itu akibat kecederaan selepas dilanggar kereta antara 8 dan 9 malam, dua hari lepas (Jumaat) berdasarkan maklumat yang diterima jabatan.

"Andaian ini berdasarkan kepada jarak bangkai haiwan itu ditemui iaitu kira-kira 50 meter dari tempat ia dipercayai dilanggar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, anak gajah itu adalah dari kumpulan Gajah Panti yang dianggarkan sebanyak 30 hingga 40 ekor dan sering bergerak melintasi Jalan Kota Tinggi - Mersing terutamanya pada sebelah malam.

"Mengikut rekod Jabatan Perhilitan Johor, sebanyak lima kes kemalangan melibatkan gajah dengan satu kematian berlaku pada tahun lalu di sepanjang jalan sama," katanya.

Salman berkata, Jabatan Perhilitan Johor sudah memasang 10 papan tanda di tempat yang sering digunakan oleh kumpulan gajah berkenaan untuk melintas.

"Orang ramai dinasihati sentiasa peka dan berhati-hati terutamanya di sebelah malam bagi mengelak kejadian melanggar gajah atau hidupan liar lain di kawasan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: