X

Kindly register in order to view this article
!

Farhash Wafa alu-alukan Salleh Keruak sertai PKR

Farhash Wafa menerima 2,234 borang kemasukan ahli baharu Cabang Tambun daripada Ketua Ranting Kampung Kanthan Baru, Terence Ng. -Foto Sinar Harian
A
A

IPOH - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengalu-alukan penyertaan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak ke dalam parti itu.

Farhash Wafa berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah untuk parti itu meluluskan permohonan berkenaan memandangkan bekas menteri UMNO itu mempunyai pengaruh besar di Sabah.

"Saya kenal beliau secara peribadi sejak zaman beliau menteri lagi. Bagi saya beliau seorang yang baik, bekerja keras dan berada dalam keluarga tokoh-tokoh politik yang memperjuangkan nasib rakyat.

"Beliau juga mempunyai sokongan kuat daripada masyarakat Bajau di Sabah. Jika saya sendiri, saya akan terima. Tiada masalah jika dapat menguatkan parti kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Tambun di Dewan Taman Perpaduan, Ulu Kinta hari ini.

Salleh dalam laman blognya, sallehsaid.com hari ini mengesahkan memohon menjadi ahli PKR secara dalam talian dengan alasan parti itu mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya dan juga suasana politik di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: Salleh Keruak sahkan mohon jadi ahli PKR melalui online

Mengulas lanjut Farhash Wafa tidak menolak kemungkinan wujud kumpulan dalam parti itu yang menentang kemasukan nama-nama besar seperti Salleh dalam PKR.

Bagaimanapun katanya, setiap kemasukan ahli baharu sama ada orang biasa atau nama besar dilakukan mengikut proses sama dan keputusannya ditentukan oleh Biro Politik PKR serta Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Buat masa ini, saya tak dengar lagi ada tentangan tetapi dalam hal ini, kita kena faham situasi politik seperti di Sabah dan Sarawak ini berbeza sedikit.

"Saya ada lihat kenyataan beliau yang merasakan PKR ini platform paling sesuai bagi senario di Sabah, perjuangan parti ini tidak ekstrem dan membela rakyat berbilang kaum. Di situ, (pandangan) beliau sangat tepat," katanya.

Dalam majlis itu, PKR Cabang Tambun telah membuat satu resolusi menuntut pimpinan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Mengulas perkara itu, Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik Anwar berkata, resolusi sama turut dinyatakan sebahagian besar ahli di peringkat cabang yang kini sedang bermesyuarat di seluruh negara terutama di Perak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!