Dividen LTAT: Jangan hina perajurit kita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEORANG penulis blog, Raggie Jessy Rithaudeen; telah membuat tuduhan jahat terhadap parti DAP dan Amanah, dalam tulisannya bertajuk ‘LTAT, Tabung Haji: Amanah bantu DAP rompak dana milik Melayu-Islam?’

Tuduhan jahat sedemikian tiada lain bertujuan untuk memainkan sentimen perkauman yang tidak ada kena mengena, dan langsung tidak berasas terhadap parti-parti kerajaan.

Suatu laporan polis telah dibuat dan saya berharap supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penyebaran mesej kebencian yang cuba dilakukan oleh penulis ini.

Hakikat yang tidak dapat dielakkan adalah Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan kini mewarisi kepincangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Najib Razak yang korup, lemah dan bermasalah.

Beban yang ditinggalkan itu turut melibatkan Kementerian Pertahanan dan agensi-agensinya. Kini pihak Kementerian sedang dalam proses memulihkan masalah-masalah yang lahir daripada kerakusan politik pentadbiran lama.

Perlu ditegaskan bahawa ini bukanlah alasan, sebaliknya ia merupakan fakta dan kebenaran semata-mata yang menjadi sebab mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen 2 peratus sahaja bagi tahun kewangan 2018.

LTAT telah pun mendedahkan siasatan dan dapatan audit oleh Ernst & Young pada 26 September lalu yang menyenaraikan tujuh kelemahan kewangan utama di era Najib termasuk keadaan di mana LTAT telah terlebih bayar dividen dalam keadaan pulangan aset yang jauh lebih rendah berbanding kadar dividen yang diumumkan.

Pihak Kementerian Pertahanan memandang serius dapatan audit terbabit dan telah memberi komitmen untuk memperbaiki LTAT.

Artikel Berkaitan:

Saya yakin Ketua Pegawai Eksekutif LTAT yang baharu, Puan Nik Amlizan Mohamed, mampu memulihkan LTAT dengan pendekatan pengurusan yang lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan anggota tentera serta mengangkat kembali maruah kerajaan serta negara.

Cubaan pihak-pihak tertentu untuk memutarbelit, mempolitik dan mempermainkan angkatan tentera dalam isu dividen LTAT adalah satu penghinaan kepada anggota tentera pembela tanah air kita.

Reaksi bekas-bekas menteri pertahanan era Barisan Nasional dalam isu LTAT, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menggambarkan seolah-olah bencana kewangan yang berlaku itu bukan salah mereka.

Sikap mereka yang cuba lari daripada tanggungjawab kini dengan jelas boleh dilihat dan dihakimi oleh rakyat.

Saya minta pihak berkuasa agar memantau serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap fitnah serta penyebaran mesej kebencian yang cuba memperlekeh serta menghina perajurit negara.

* Senator Liew Chin Tong ialah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia