Pesta 'lalok' dalam hotel

polis
polis
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 17 individu termasuk lima perempuan ditahan polis dalam pesta dadah yang diadakan di dua bilik berasingan di sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir di sini awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu mendapati empat daripada mereka masing-masing dua lelaki dan dua perempuan masih di bawah umur, namun sudah tidak bersekolah.

Ketua Polis Daerah Timut Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan enam lelaki dan empat perempuan yang berada dalam sebuah bilik di hotel terbabit.

"Pemeriksaan yang dilakukan menemui lapan peket disyaki syabu seberat kira-kira 15 gram (g) bersama satu peket ketamin (6.86g) dan kesemuanya bernilai RM3,228. Kita juga turut merampas peralatan menghisap syabu ditemui di atas meja makan.

"Susulan itu seorang lelaki berhampiran kolam renang diperiksa dan mendapati dia memiliki kad akses untuk masuk ke sebuah lagi bilik di hotel berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, polis kemudian menyerbu sebuah lagi bilik dan menahan lima lelaki serta seorang perempuan selain turut merampas satu peket berisi dadah disyaki ketamin seberat 0.69g dan sebiji pil ekstasi bernilai RM30 di atas rak televisyen.

"Pemeriksaan air kencing mendapati 11 lelaki serta tiga perempuan yang ditahan itu positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Semua yang ditahan berusia 16 hingga 31 dan bekerja sebagai penarik kereta, kedai pakaian, jurujual, kilang dan kontraktor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Che Zaimani berkata, siasatan awal mendapati setiap individu yang ingin menyertai pesta dadah berkenaan dikenakan bayaran RM50 untuk lelaki dan percuma untuk perempuan.

"Kesemua mereka sudah berada di hotel terbabit sejak Khamis lalu dan kita menahan dua lelaki yang menjadi penganjur parti liar berkenaan. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut," katanya.