Cuepacs rayu kerajaan tidak gabung UMT, UniSZA

Azih
Azih
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kepada kerajaan, khususnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya hasrat menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak diteruskan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, dua universiti di Terengganu itu mempunyai matlamat yang berbeza, selain proses penggabungan itu akan mengecilkan lagi bilangan universiti yang ada dalam negara ini.

"Semua orang tahu, UniSZA lebih berorientasikan keagamaan walaupun hari ini ia telah beralih kepada subjek yang lain seperti perubatan dan teknologi, manakala UMT adalah cawangan yang asalnya daripada Universiti Putra Malaysia untuk mengkaji maritim dan hidupan laut.

"Jadi, sebab itulah dengan dua matlamat berbeza ini, ia tak boleh duduk bersama," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada gabungan-gabungan universiti, termasuk wakil daripada kesatuan sekerja UMT dan UniSZA di Wisma Cuepacs di sini hari ini.

Menurut Azih, bukan sahaja Cuepacs tetapi semua warga kedua-dua universiti itu membantah sekeras-kerasnya akan cadangan penggabungan itu.

"Kami kesal dengan pucuk pimpinan universiti yang membuat keputusan begitu cepat, tanpa mengambil kira sensitiviti warganya termasuk kakitangan dan penuntut," katanya.

Susulan itu, Azih berkata, pihaknya dalam perancangan untuk berjumpa dengan Maszlee dalam masa terdekat untuk menyerahkan satu nota berhubung isu penggabungan ini.

Sebelum ini, dilaporkan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA, dan persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar serta wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan.

Sementara itu, Cuepacs memohon pertimbangan kerajaan supaya penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 ke bawah diperuntukkan rumah pada kadar harga RM90,000 sehingga RM150,000, dalam pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini.

"Kami sangat menghargai di atas keprihatinan kerajaan mewujudkan perumahan kepada rakyat.

"Namun begitu, sebahagian besar penjawat awam tidak mampu beli rumah disebabkan baki gaji yang ada tidak melayakkan mereka membuat apa-apa pinjaman perumahan," katanya. - Bernama