Tiada transaksi RM2 juta kepada UMNO

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan hari ini diberitahu tiada transaksi membabitkan jumlah wang tersebut dimasukkan dalam akaun UMNO.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dalam hujahannya berkata, ia berdasarkan keterangan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani selepas hasil semakan terhadap syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) dan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB).

Katanya, siasatan saksi pendakwaan ke-23 (Muhammad Saad) menunjukkan wang RM2 juta dibayar kepada THSB, yang mana Tengku Adnan merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat itu.

Menurutnya, siasatan terhadap dua syarikat itu serta dengan pihak UMNO membuktikan jumlah wang itu tidak dimasukkan dalam akaun parti politik itu serta tiada resit bayaran kepada UMNO ditemui.

"Dalam kes ini, sekiranya benar resit tersebut telah dikeluarkan, salinan resit tersebut perlu dikemukakan sebagai pematuhan kepada Seksyen 62 Akta SPRM," katanya dalam hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan.

Julia berkata, hujahan pihak pembelaan bahawa siasatan yang dilakukan pegawai penyiasat tidak lengkap adalah tidak berasas memandangkan tidak terdapat sebarang dokumen menunjukkan RM2 juta yang dibayar kepada THSB merupakan sumbangan politik.

Berkenaan dengan tujuan wang RM2 juta disalurkan, Julia menegaskan bahawa berdasarkan keterangan saksi kelima, Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan THSB, Rabiatul Adawiyah Sobri yang mengesahkan tiada pengeluaran wang RM2 juta daripada akaun THSB kepada UMNO, menunjukkan bahawa wang itu bukan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Beliau berkata, sekiranya mahkamah berpandangan kemasukan RM2 juta bertujuan untuk dana politik kepada UMNO, pihak pendakwaan menegaskan bahawa ia merupakan satu faedah kepada Tengku Adnan memandangkan beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Ketua UMN0 Bahagian Putrajaya dan Setiausaha Agung UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pendakwaan menghujahkan bahawa perbuatan tertuduh menerima wang tersebut dalam kapasitinya sebagai seorang yang mempunyai jawatan tertinggi dalam UMNO, akan mengukuhkan kedudukannya dalam parti tersebut yang merupakan faedah kepada dirinya sendiri. Isu ini juga merupakan suatu yang perlu dibuktikan oleh tertuduh dalam pembelaannya," katanya.

Julia berkata, Tengku Adnan mempunyai pengetahuan (mens rea) mengenai wang RM2 juta itu yang kononnya untuk dana politik bagi membantu PRK, namun wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun syarikatnya (Tadmansori).

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan dalam hujahannya berkata, tidak wujud kes prima facie dalam kes pendakwaan membabitkan rasuah berjumlah RM2 juta yang dihadapi anak guamnya.

Beliau berkata, Pengarah Aset Kayamas, Tan Sri Chai Kin Kong, 60, dalam keterangannya sebelum ini berkata, Tengku Adnan ada memberitahunya bahawa UMNO memerlukan dana politik lebih kurang RM5 hingga RM6 juta untuk PRK.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik THSB yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Pada 23 Januari lalu, Tengku Adnan, 68, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Seramai 23 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 2 Julai lalu itu dan antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai. - Bernama