Khidmat terakhir untuk bonda

A
A
A

SEMENJAK di bangku sekolah lagi saya cukup gundah apabila bonda menangis kerana saya.

Perasaan bersalah, kesal dan malu terus menyentap jiwa. Mujurlah ada perasaan sebegitu sebagai pendinding diri daripada mengulangi kesilapan yang sama.

Apabila berbicara pasal ibu, tentunya kita semua mempunyai pengalaman berharga dan indah semasa bersama dengan mereka.

Pun begitu, masa terus berlalu dan akan sampai masanya kita akan digentas semua keseronokan tersebut dan akhirnya hanya tinggal kenangan yang menyapa diri.

Sebetulnya, darjat ibu cukup tinggi di sisi ALLAH.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?”

Maka Rasullulah SAW menjawab, “Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu." (Hadis Riwayat Muslim).

Malah Imam al-Nawawi menerusi kitabnya Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi telah menukilkan pendapat para ulama yang menjelaskan, “Sebab-sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya.

Artikel Berkaitan:

Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut."

Selain itu, hebatnya orang yang berbuat baik serta mentaati ibunya telah diceritakan oleh Rasullulah S.A.W. tentang kisah Uwais al-Qarani, sehinggakan Rasulullah SAW pernah meminta Umar al-Khattab RA meminta Uwais berdoa agar ALLAH memberikan pengampunan kepadanya walaupun dirinya ialah seorang khalifah.

Pengajaran daripada kisah Uwais menunjukkan bahawa perbuatan baik dan mentaati ibu akan menjadikan seseorang itu memperoleh doa yang mustajab.

Atas kesedaran inilah, kami semua adik-beradik cukup gigih berusaha menjaga ibu yang dihinggapi penyakit Alzheimer sejak 10 tahun yang lalu. Keadaan ibu semakin kronik sejak tiga tahun lalu.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menjaga beliau walaupun sudah tidak lagi mengenali kami. Sebagai anak sulung lelaki, saya telah bersedia lama untuk menerima segala kemungkinan.

Akhirnya saat tersebut tiba jua. Pada tanggal 26 September 2019, ibu saya telah menghadap Ilahi.

Kesempatan bersama bonda sewaktu proses sakaratulmaut adalah satu nikmat yang besar telah dikurniakan oleh ALLAH kepada saya.

Tambahan pula, diberi keizinan untuk mengimamkan jenazah bonda menjadikan saya kelu berkata-kata kerana besarnya anugerah ALLAH kepada saya.

Pada hemat saya, bagi mereka yang masih ada ibu bapa, tanamlah keazaman agar dapat mengetuai sembahyang jenazah sebagai khidmat terakhir untuk mereka.

Hakikatnya, kita tidak perlu gundah di mana kita berada.

Jika ALLAH mengizinkannya, kita akan berjaya menunaikan tanggungjawab tersebut.

Percayalah, kepuasan memberikan khidmat terakhir kepada mereka tidak sedikitpun boleh diungkap dengan kata-kata.

Pun begitu, perasaan kasih dan rindu masih membuak dalam diri dan tidak akan hilang sampai bila-bila.

Teringat saya pada sebahagian lirik lagu Bonda oleh M. Nasir, “Mengapa kanta ini masih berkaca, sedangkan telah pun terima di dalam reda. Mengapa sinar neon dan gedung indah, kini menjadi penjara jiwa. Duhai bonda, hari-hariku berlalu bagaikan bahtera tanpa layar.”

Malah terdapat syair bahasa Arab tentang ibu yang menyentuh jiwa saya.

Antara sebahagian bait-bait puisi tersebut ialah, “Digenggamanmu aku tumbuh dewasa, di kehangatan hatimu aku berlindung, di rusukmu aku dapat bersembunyi.

Hati tak akan mudah percaya kecuali kepadamu, bebatuan tak akan lunak kecuali dengan kasih sayangmu. Engkau adalah cinta aku.”

Beruntunglah bagi mereka yang masih ada ibu bapa. Berbuat baiklah kepada mereka semasa masih ada. Jangan kita hanya kasih setelah mereka tiada.

*Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis