X

Kindly register in order to view this article
!

AirAsia tuntut RM480 juta daripada anak syarikat MAHB

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd memfailkan tuntutan RM479.78 juta terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berikutan kecuaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Writ tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini pada 2 Oktober, 2019.

“(Tuntutan itu bagi) kerugian dan kerosakan disebabkan kecuaian oleh sebahagian MASSB, pekerjanya dan/atau ejennya dalam pengurusan, pengoperasian, penyenggaraan dan/atau penyediaan perkhidmatan dan kemudahan lapangan terbang di KLIA2,” menurut AirAsia Group dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata sebelum itu AirAsia dan AirAsia X telah memohon mediasi daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenai kemelut mereka dengan MASSB, berdasarkan Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

Bagaimanapun, Mavcom enggan untuk menjadi pengantara dan usaha seterusnya oleh AirAsia bagi mendapatkan semakan penghakiman ke atas ketiadaan tindakan Mavcom itu telah ditolak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Riad Asmat dan CEO AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, pihak mereka terpaksa mengambil langkah undang-undang berkenaan setelah berusaha menyelesaikan isu itu secara baik dan melalui saluran yang betul.

“Kami terpaksa memfailkan tuntutan ini kerana kami tidak mempunyai cara yang lain untuk melindungi kepentingan kami.

“Pertikaian ini bermula apabila Malaysia Airports telah memfailkan saman sivil terhadap kami bagi Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) selepas menolak tawaran mediasi kami,” kata mereka.

AirAsia dan AirAsia X sentiasa terbuka untuk menyelesaikan sebarang isu dengan rakan perniagaan mereka secara konstruktif dan masih merasakan bahawa Malaysia Airports tidak sepatutnya memfailkan saman berkenaan, kata mereka.

Saham AirAsia di Bursa Malaysia susut dua sen kepada RM1.68 ketika ditutup hari ini selepas 11.29 juta saham bertukar tangan manakala Malaysia Airports Holdings Bhd (syarikat induk MASSB) meningkat empat sen kepada RM8.70 selepas 1.10 juta saham diniagakan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!