X

Kindly register in order to view this article
!

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal hasil buku filem animasi pertama

Burhanuddin Md Radzi - Foto Sinar Harian/ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas mencatat kutipan panggung sebanyak RM26 juta dan memenangi Filem Cetera Terbaik Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal terus dijulang dengan pelancaran buku konsep seni dan visual filem animasi pertama di Malaysia.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, dengan usahasama Kumpulan Media Karangkraf buku tersebut dihasilkan sebagai bahan rujukan kepada tenaga pengajar dan pelajar bidang seni dan animasi.

“Buku seperti ini belum pernah dihasilkan oleh mana-mana penerbit filem animasi negara, ia boleh menjadi bahan rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang perfileman atau kepada pelukis konsep (artist).

“Tujuan kami lancarkan buku ini adalah untuk merakamkan hasil usaha kakitangan kami yang hampir kesemuanya rakyat Malaysia dan graduan universiti tempatan. Untuk filem ini dua pengarahnya adalah graduan UniKL (Universiti Kuala Lumpur),” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran buku konsep seni dan visual filem animasi itu di Institut Teknologi Maklumat Malaysia, UniKL (UniKL-MIT), di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk permulaan pihaknya mencetak sebanyak 500 naskah buku dan akan ditingkatkan mengikut permintaan, dan ketika ini buku tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli dalam talian.

Buku tersebut ditulis oleh Nur Naquyah Burhanuddin, Mohd Farquar Azman dan Aliya Nazlan, yang merupakan warga Les' Copaque yang terlibat secara langsung dengan produksi filem tersebut dalam tempoh tiga bulan penulisan mereka.

Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut dengan membuat pembelian di www.upinipinstore.com atau www.karangkrafmall.com, dengan harga RM199 untuk sebuah buku.

Filem Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal mula ditayangkan pada 21 Mac lalu dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM26 juta dalam tempoh tiga minggu ditayangkan.

Burhanuddin berkata pembikinan sebuah filem yang berkualiti tinggi seperti itu memerlukan perancangan yang rapi dan teliti dari semua aspek pembuatan filem, dan untuk filem itu sahaja pihaknya mengambil masa lima tahun.

“Dari segi pembangunan cerita, syarikat kami melakukan penyelidikan dan pencarian bahan yang berteraskan budaya kerana ia merupakan simbolik kepada kekuatan bangsa Melayu.

“Keris merupakan senjata keramat telah dipilih sebagai bahan utama penceritaan dan watak-watak yang dipilih diceritakan dalam buku ini. Keris sebagai bahan utama dalam penceritaan ini kerana melambangkan kekuatan orang Melayu. Kami mengambil inspirasi daripada keris kebesaran Selangor iaitu keris Berok Berayun,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, karnival tahunan Upin & Ipin selama tiga hari yang berlangsung sejak 2014 akan diteruskan tahun ini.

“Karnival Upin dan Ipin tahun ini akan diadakan di MITC Melaka pada 29 November hingga 1 Disember ini yang melibatkan hampir semua petugas saya dengan bertemakan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus