Anak disimbah air panas gara-gara habiskan makanan

Mangsa kini masih dirawat di HPP namun dilaporkan stabil.
A
A

GEORGETOWN- Kanak-kanak perempuan yang melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai didera bapa kandungnya sendiri bukan disebabkan mencuri wang sebaliknya kerana makanan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa berusia 8 tahun itu disimbah air panas selepas bapanya yang berusia 41 tahun berang kerana makanan yang disediakan habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, dakwaan yang mengatakan mangsa mencuri wang RM10 ibunya adalah kejadian lama.

"Dalam kejadian malam 27 Disember lalu, mangsa yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Air Itam itu melecur di lengan, rusuk dan dada kanan. Punca kejadian bukanlah kerana mangsa dituduh mencuri wang sebaliknya bapanya yang juga suspek berang selepas makanan yang disediakan isterinya habis.

"Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar di sebuah pasaraya di Bayan Baru, baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar. Bagaimanapun, suspek mendapati makanan yang disediakan isterinya telah dihabiskan oleh anak-anaknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, berang dengan perkara itu, suspek bertindak mengejutkan keempat-empat anaknya yang sedang tidur lalu memukul mereka.

"Ketika itu, anak-anaknya sedang tidur di ruang tamu. Selepas memarahi dan memukul mereka, suspek menyimbah semangkuk air panas dari mesin penapis air minuman ke arah mangsa.

"Kejadian itu disaksikan isteri suspek yang berusia 38 tahun namun dia tidak melakukan apa-apa. Dia hanya melihat dan langsung tidak menghalang suaminya, malah turut memarahi mangsa," katanya.

Che Zaimani berkata, susulan daripada itu, suspek bersama isteri dan anak bongsunya telah melarikan diri kerana bimbang ditahan.

"Anak sulung dan ketiga suspek kini berada bawah jagaan nenek mereka iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat sama.

"Kita sedang giat mengesan suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftaran PCK 9818," katanya.

Sebelum ini, mangsa dikatakan disimbah air panas oleh bapa kandungnya kerana dituduh mencuri wang ibunya bernilai RM10 di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini.

Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan stabil.

Menurut pegawai perubatan, kesan melecur tersebut tidak memerlukan sebarang pembedahan plastik dan hanya memadai dengan meletakkan skrub dan mencuci luka dengan ubat anti bakteria.

Peratusan melecur pada badan mangsa hanya tiga peratus dan dikategorikan sebagai 'mid-dermal burn'.

Mangsa merupakan anak kedua daripada empat adik beradik lelaki itu dikatakan sering diabaikan oleh kedua ibu bapa mereka. Anak sulung berusia 9 tahun, manakala dua lagi beradik berusia 6 dan 3 tahun.

Menurut jiran, kesemua mereka diabaikan ibu bapa dan sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman tanpa pengawasan orang dewasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.