[Video] Daging percuma buat si comel

A
A
A

SEREMBAN – Pemilik kedai sejuk beku, Misa Frozen menawarkan lebihan daging di kedainya secar percuma kepada pemilik kucing.

Mohd Shuhaimi Abu berkata, dia tidak sampai hati membuang lebihan daging yang dipotong itu apatah lagi untuk dijual kepada pelanggan kerana teksturnya lebih halus dan bercampur dengan daging lain.

Justeru, peniaga berusia 40 tahun itu memanfaatkan lebihan daging berkenaan dengan berkongsi bersama pencinta kucing.

Katanya, idea berkenaan tercetus apabila ada pengikut Facebooknya yang bertanya mengenai lebihan daging di kedainya untuk diberi kepada haiwan comel berkenaan.

“Saya tak tahu dan tak pernah terfikir pun lebihan daging yang dipotong itu boleh dijadikan makanan kucing. Biasanya saya akan buang saja walaupun terfikir sebenarnya ia satu pembaziran.

“Ada yang kata saya boleh jual sebagai daging cincang tapi ia tidak sesuai kerana teksturnya lebih halus dan biasanya bercampur dengan daging lain yang dijual di kedai saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shuhaimi yang menjalankan perniagaan itu sejak lapan bulan lalu berkata, tiada sebarang syarat ditetapkan dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum tetapi bergantung kepada lebihan daging yang ada.

Bagaimanapun katanya, lebihan daging lebih banyak jika ramai pelanggan membeli di kedainya.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya untuk satu kilogram daging, akan ada lebihan sembilan ke 10 peratus. Boleh dikatakan setiap hari akan ada yang datang bertanya sejak kita uar-uarkan di Facebook.

“Ada yang siap buat tempahan. Tapi konsep kami, siapa cepat, dia dapat. Lagipun ia percuma. Ada juga yang mahu beli tapi memang saya tak terfikir untuk menjualnya kerana tidak sampai hati,”katanya.

Shuhaimi berkata, mereka yang berminat untuk mendapatkan daging itu boleh datang ke kedainya yang dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari manakala Ahad pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, orang ramai tidak perlu segan untuk bertanya mengenai daging itu kerana bukan setiap waktu diletakkan secara terbuka di bahagian hadapan kedai bagi mengelakkan bau busuk.

"Biasanya kami simpan dalam peti, kalau dibiarkan nanti cepat busuk. Datang sajalah bertanya, kalau ada rezeki...adalah.

" Ini juga jadi sebahagian aktiviti sosial saya kepada masyarakat dan hanya berharap orang ramai dapat mendoakan perniagaan saya lebih berjaya," katanya.

Sementara itu pemilik kucing, Mohd Zulkefli Hashim,61, berkata, inisiatif diambil oleh pemilik kedai berkenaan disifatkan sebagai satu usaha murni yang wajar dipuji.

"Macam saya ada 20 ekor kucing dan jika nak beli lebihan daging ini harganya mahal. Tapi pemilik kedai ini sedia beri secara percuma. Baguslah, daripada dibuang begitu saja lebih baik disedekahkan,"katanya.