Arab Spring kembali?

Polis antirusuhan menggunakan semburan air untuk menyuraikan kumpulan protes di kawasan antara Dataran Tahrir di Baghdad dan daerah Zon Hijau yang menempatkan kedutaan asing. - Foto: AFP
Polis antirusuhan menggunakan semburan air untuk menyuraikan kumpulan protes di kawasan antara Dataran Tahrir di Baghdad dan daerah Zon Hijau yang menempatkan kedutaan asing. - Foto: AFP
A
A
A

BAGHDAD - Sekurang-kurangnya dua maut manakala 200 yang lain cedera semalam selepas pasukan keselamatan di Iraq melepaskan tembakan pemedih mata dan peluru hidup terhadap kumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan terhadap masalah pengangguran dan rasuah di negara itu.

Protes utama diadakan di tengah Baghdad dan lokasi lain di wilayah selatan negara itu.

Polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara selepas kira-kira 3,000 penunjuk perasaan cuba untuk menyeberangi jambatan menuju ke Zon Hijau yang menempatkan kedutaan asing sambil melaungkan slogan 'Kami mahu gulingkan rejim'.

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila peserta protes terbabit mula membakar bangunan yang digunakan oleh tentera Iraq hingga mencetuskan pertempuran dengan pihak berkuasa.

"Golongan muda di negara ini semakin hilang arah tujuan. Tiada kerja, tiada masa depan yang jelas. Jadi, kenapa kami perlu terus berdiam diri," kata seorang peserta protes dikenali sebagai Mohammed.

Gesaan untuk mengadakan protes di Baghdad semakin meningkat sejak minggu lalu apabila Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi memecat Komander Skuad Antikeganasan, Jeneral Abdulwahab al-Saadi yang dilihat sebagai cubaan untuk menghapuskan kepimpinan tentera yang memerangi Daesh.

"Ini bukan kerajaan, ia adalah sekumpulan parti dan militia yang mahu menghapuskan Iraq," kata seorang lagi penunjuk perasaan yang enggan identitinya didedahkan.

Rantau Asia Barat kembali dilanda protes antikerajaan selepas Mesir juga menyaksikan demonstrasi luar biasa menuntut pengunduran Presiden Abdel Fattah al-Sisi pada bulan lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: