X

Kindly register in order to view this article
!

Nenek rugi RM8,350 diperdaya Parcel Scam

PDRM
A
A

KEPALA BATAS - Seorang nenek mengalami kerugian RM8,350 apabila dipercayai terpedaya dengan sindiket Parcel Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki di laman sembang Twoo semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 70 tahun itu mendakwa dia berkenalan dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai doktor di Amerika Syarikat di laman sembang TWOO pada Ogos lalu.

Menurutnya, suspek kemudiannya memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar bungkusan mengandungi barangan berharga dan wang tunai.

"Suspek mendakwa, wang tunai dalam jumlah yang besar itu untuk dilabur di Malaysia dan mangsa mempercayainya.

"Selang beberapa hari, mangsa mendapat panggilan kononnya daripada ejen syarikat kurier memberitahu barang tersebut telah sampai di ibu pejabat syarikat itu di ibu negara. Ejen itu meminta mangsa membuat bayaran untuk membolehkannya mengambil barangan itu.

"Tanpa berfikir panjang, dia terus membuat lapan transaksi deposit ke tiga buah akaun bank seperti yang diarahkan dalam tempoh tiga minggu melibatkan RM8,350," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada rakannya lalu membuat laporan polis.

Dalam kes berlainan, seorang jururawat mengalami kerugian RM6,770 selepas terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud.

Noorzainy berkata, mangsa berusia lingkungan 30- an itu mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM15,000 daripada syarikat pinjaman berdaftar yang disyaki tidak wujud di laman sosial.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kepala Batas dikatakan telah melayari sebuah laman web dan memasukkan maklumat untuk tujuan pendaftaran. Selepas membuat pendaftaran, mangsa terus dihubungi seorang lelaki kononnya ejen syarikat tersebut.

"Sepanjang perbualan, mangsa telah diterangkan perlu lakukan beberapa pembayaran bagi tujuan pemprosesan seperti upah peguam, insurans dan duti setem.

"Mangsa kemudiannya membuat sembilan transaksi ke dalam dua akaun melibatkan RM6,770 dalam tempoh 26 hingga 29 September lalu.

"Mangsa membuat laporan polis selepas menceritakan perkara itu kepada suaminya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi jururawat turut menjadi mangsa disyaki sindiket sama melibatkan kerugian RM22,840.

Noorzainy berkata, mangsa yang berusia lingkungan 30 -an itu mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM 25,000 daripada ejen pinjaman menggunakan nama syarikat yang berdaftar di laman sosial.

" Mangsa dihubungi seorang lelaki kononnya ejen syarikat tersebut selepas memasukkan semua maklumat peribadi dalam sebuah laman web untuk tujuan pendaftaran.

"Sepanjang perbualan, mangsa diminta melakukan beberapa pembayaran bagi tujuan pemprosesan seperti upah peguam, insurans dan duti setem. Mangsa melakukan sembilan transaksi ke dalam sebuah akaun melibatkan wang RM22,840 dalam tempoh tiga hari bermula 26 September lalu," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!