KPDNHEP Selangor rampas beg tangan, dompet jenama tiruan

Anggota KPDNHEP menjalankan pemeriksaan pada beg tangan yang dipamerkan di premis berkenaan menerusi operasi berkenaan. Foto: Ihsan KPDNHEP Selangor
Anggota KPDNHEP menjalankan pemeriksaan pada beg tangan yang dipamerkan di premis berkenaan menerusi operasi berkenaan. Foto: Ihsan KPDNHEP Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita sebanyak 297 beg tangan dan 24 dompet pelbagai jenama tiruan bernilai RM27,600 dalam serbuan di sebuah butik berhampiran Alam Avenue Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16 semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil serbuan, pihaknya berjaya menemui barangan berkenaan yang disyaki menggunakan perihal dagangan palsu beberapa jenama yang dipamerkan untuk jualan di premis berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati dompet itu dijual RM39 hingga RM49 seunit manakala beg tangan pula dijual RM80 hingga RM120 seunit.

"Stok barangan jualan dipercayai diperoleh daripada pemborong tempatan dan dipasarkan seluruh Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak secara atas talian.

"Selain itu wakil pemilik cap dagangan juga telah membuat pengesahan ke atas barangan yang ditemui di premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan serbuan itu Muhamad Zikril berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) dan turut menahan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, wanita berkenaan merupakan pekerja di butik terbabit dan turut berada di lokasi kejadian ketika serbuan dilakukan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan: